WASHINGTON – Presiden Donald Trump semalam menangguhkan lagi tarikh akhir serangan ke atas aset tenaga Iran kepada 6 April ini susulan permintaan Tehran dan juga kerana rundingan untuk menamatkan perang ‘berjalan dengan sangat baik’.
Beliau sebelum ini menafikan terdesak untuk mencapai perjanjian bagi menamatkan perang Asia Barat.
“Rundingan sedang berjalan dan meskipun terdapat kenyataan salah oleh Media Berita Palsu, dan pihak lain, perbincangan ini berjalan dengan sangat baik,” kata Trump di platform miliknya, Truth Social.
Sabtu lalu, Trump memberi Iran tempoh 48 jam untuk membuka semula Selat Hormuz dan mengancam memusnahkan loji kuasa Tehran tetapi kini beliau melanjutkan tarikh akhir itu sebanyak dua kali.
“Menurut permintaan kerajaan Iran, saya dengan ini menangguhkan tempoh pemusnahan infrastruktur tenaga Tehran selama 10 Hari kepada Isnin, 6 April 2026, pukul 8 malam(waktu tempatan),” katanya.
Utusan Trump, Steve Witkoff memberitahu mesyuarat kabinet terdapat petunjuk kukuh Tehran bersedia untuk berunding, mengesahkan secara terbuka buat pertama kali bahawa Washington telah menyerahkan ‘senarai 15 perkara’ kepada Tehran melalui Pakistan.
Pada mesyuarat itu, Trump berkata, Iran telah membenarkan 10 kapal tangki minyak melalui Selat Hormuz untuk menunjukkan bahawa Tehran serius mahukan rundingan. – AFP














