GERIK – Sindiket penyeludupan petrol ke negara jiran ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak apabila tiga lelaki tempatan ditahan di Pengkalan Hulu di sini tengah hari semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, penahanan tiga lelaki berusia antara 60 hingga 70 tahun itu dibuat menerusi Ops Tiris yang dilaksanakan secara strategik oleh pihaknya dari Cawangan Gerik bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Gerik.
“Operasi tersebut dilaksanakan bagi memastikan pemeriksaan menyeluruh dapat dijalankan, khususnya dari aspek teknikal kenderaan serta pematuhan terhadap undang-undang yang berkuat kuasa.
“Pasukan penguat kuasa KPDN Perak telah berjaya menahan tiga buah kenderaan iaitu dua kereta berjenama Mercedes dan satu Toyota Camry yang disyaki diubah suai pada tangki asal bagi tujuan menjalankan aktiviti penyelewengan petrol.
“Modus operandi sindiket adalah dengan membuat pengisian petrol di stesen-stesen minyak berhampiran secara berulang kali sebelum keluar masuk ke negara jiran.
“Sehubungan itu, tiga lelaki tempatan berumur antara 60 hingga 70 tahun ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Kamalludin berkata, tindakan kes turut diambil dengan menyita tiga buah kenderaan berpendaftaran tempatan, serta 450 liter minyak petrol RON95 yang disimpan di dalam tangki ubah suai ketiga-tiga kenderaan tersebut.
Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM15,741.50.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak diesel tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














