PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan beberapa kawasan di Lembah Klang dan Perak hingga pukul 7 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya memaklumkan, cuaca buruk itu dijangka melanda Batang Padang dan Muallim di Perak.
“Sementara itu, amaran ribut petir itu turut dijangka berlaku di Hulu Selangor, Gombak dan Petaling di Selangor serta Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE














