fbpx
Orang ramai mengisi air ketika gangguan bekalan air di Kedah minggu ini.

Cemuih! Setiap kali raya tiada air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELESAI sudah misi beraya di desa bersama keluarga tercinta, ramai perantau berpusu-pusu kembali ke kota untuk meneruskan rutin mencari rezeki dan memenuhi komitmen lain.

Sambutan lebaran penulis di Kedah meriah seperti biasa. Tetamu tidak putus berkunjung ke rumah dari hari raya pertama sehingga semalam. Memang dari dulu, kediaman bonda penulis jadi tempat berkumpul saudara-mara dari Perak dan Lembah Klang.

Cuma yang tidak seronoknya, ada masalah gangguan air kronik. Memang sangat mencabar urusan di dapur apabila bekalan air terputus. Itu belum sentuh lagi urusan tetamu nak ke tandas, pening jadinya.

Memetik laporan media pada 18 Mac lalu, Syarikat Air Darul Aman (SADA) berjaya mengurangkan aduan gangguan bekalan air menjelang musim perayaan hasil pelaksanaan pelan kontingensi yang dirangka sejak beberapa tahun lalu.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, sepanjang tiga tahun jumlah aduan diterima berkurangan secara drastik khususnya ketika musim raya.

Besar harapan penulis, pulang beraya kali ini harap ada air. Malangnya, masih sama. Krisis bekalan air terputus masih berlaku di beberapa kawasan di Baling sedangkan pihak kerajaan negeri dan SADA sedia maklum peningkatan berganda penggunaan sumber penting ini sepanjang musim perayaan. Apatah lagi Baling dilanda gelombang haba tahap dua dengan suhu maksimum harian mencecah 37 hingga 40 darjah Celsius.

Masalah tiada air memburukkan lagi keadaan. Di rumah ibu penulis dan jiran, air tiada dari pagi 1 Syawal dan sehingga semalam (hari keenam). Ketika artikel ini ditulis situasinya masih sama. Sudahlah panas lit lit, buka paip setitik air pun tidak keluar!

Penduduk kampung lain juga berdepan masalah sama. Mana yang ada sumber air masyarakat dari lata dan bukit mungkin boleh menarik nafas lega.

Situasi ini sangat tidak selesa khususnya bagi warga emas dan mereka yang ada anak kecil. Ramai terpaksa mengangkut air dari tempat lain sementara menunggu bantuan air tiba.

Ada yang terpaksa membeli berbotol-botol air minuman dan air mineral untuk mencukupkan keperluan urusan memasak dan sebagainya.

Bahkan ada yang terpaksa menyewa inap desa di kawasan tidak terjejas semata-mata untuk mandi. Lebih-lebih lagi keluarga besar, apabila pulang beraya dan tiada bekalan air memang ‘disaster’.

Buat pula ada yang sakit perut, asyik nak ‘membuang’ memang huru-hara.

Bagi yang berkemampuan mungkin tiada masalah untuk mengeluarkan belanja lebih demi keselesaan, tetapi bagaimana pula buat yang tidak mampu?

Isu ini bukan perkara baharu kerana sudah lama berlarutan. Seharusnya SADA dan pihak kerajaan negeri lebih peka dan cakna dalam menangani krisis air secara menyeluruh, realistik dengan menyediakan solusi terbaik bagi mengelakkan senario ini daripada terus berulang.

Lagipun Baling kaya dengan sumber air, ada banyak lata dan sungai. Adakah ini sahaja yang mampu dilakukan untuk rakyat? ‘Cemuih’ hadap isu sama setiap tahun!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN