fbpx
ZURA mengambil keputusan berpisah dengan suami kerana tidak mahu dimadukan. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Suami curang kerana sunyi tiada zuriat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERKAHWINAN yang dibina hampir satu dekad oleh seorang wanita dikenali sebagai Zura bersama suaminya akhirnya terlerai kerana orang ketiga.

Dia merasakan berpisah adalah jalan terbaik untuk dirinya dan suami agar tidak terus menyiksa diri.

“Suami saya pada mulanya tidak mahu melepaskan saya, dia mahu saya membenarkannya berkahwin satu lagi.

“Saya tidak sanggup hidup bermadu, saya meletakkan syarat untuk saya dilepaskan jika suami memilih berkahwin lain,” katanya.

Suaminya akur dan mengambil keputusan melepaskan Zura demi mengahwini wanita lain iaitu seorang janda.

Mereka berdua sah berpisah di sebuah mahkamah syariah di Lembah Klang.

Menceritakan tentang perpisahan tersebut, Zura menjelaskan suaminya itu ada menjalinkan hubungan dengan seorang janda tanpa pengetahuannya.

“Saya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada suami saya, saya yakin dia tidak akan berlaku curang di belakang saya.

“Namun, dia mengkhianati saya dan menjalinkan hubungan dengan janda tersebut tanpa pengetahuan saya,” katanya.

Suaminya itu mengenali janda tersebut di media sosial dan mereka menjalin hubungan sulit selama hampir setahun.

Semuanya terbongkar apabila salah seorang rakan Zura ada melihat suaminya itu sedang keluar bersama wanita lain.

“Kawan saya memberitahu tentang hubungan suami saya dengan wanita lain.

“Pada mulanya saya sukar untuk mempercayainya kerana saya percaya kepada suami saya,” ujarnya.

Apabila mendengar berita tersebut, Zura tidak terus menyerang suaminya bagi mendapatkan penjelasan.

Tetapi dia mengambil keputusan untuk menyiasat terlebih dahulu dan mencari bukti yang kukuh terlebih dahulu.

Dia memeriksa telefon pintar suaminya tetapi tiada sebarang yang mencurigakan.

Namun, dia perasan perubahan suaminya yang sering keluar berkonvoi motosikal bersama teman-temannya pada hujung minggu.

“Suami saya secara tiba-tiba membeli sebuah motosikal berkuasa tinggi dan dia menyatakan ingin berkonvoi dengan rakan sekerjanya.

“Saya tidak menghalang kerana tahu suami saya seorang yang minat dengan motosikal berkuasa tinggi,” jelasnya.

Sebenarnya, suami Zura tidak keluar berkonvoi bersama rakan-rakan tetapi dia keluar bersama janda tersebut.

Kecurangan itu terbongkar apabila Zura meminta seorang rakan sekerjanya untuk mengekori suaminya pada hujung minggu.

Rakannya itu melaporkan bahawa suaminya itu ada pergi mengambil wanita lain di satu lokasi dan mereka hanya keluar berdua.

“Apabila suami pulang saya terus bertanya akan hal tersebut, pada mulanya dia tidak mengaku.

“Namun, setelah saya menceritakan segalanya tentang ada rakan saya yang mengekorinya, suami saya akhirnya mengaku bahawa dia ada membawa wanita lain,” katanya.

Suaminya juga menceritakan bahawa wanita itu adalah seorang janda dan mereka memang menjalinkan hubungan percintaan dan menyimpan hasrat untuk berkahwin.

Malah, suaminya juga memberi alasan bahawa dia sunyi dengan perkahwinannya bersama Zura kerana mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

“Suami saya mengaku dia curang di belakang saya, akhirnya setelah saya mengetahui sendiri tentang hubungan mereka, dia meminta kebenaran untuk menjadikan janda itu sebagai isteri kedua.

“Dalam masa yang sama, dia tidak mahu melepaskan saya kerana masih sayang kepada saya dan dia akan cuba untuk berlaku adil,” terangnya.

Zura percaya suaminya tidak akan boleh berlaku adil kerana suaminya itu hanya bekerja biasa dan bagaimana dia ingin memberi nafkah kepada dua isteri.

Malah, Zura yang banyak membantu suaminya selama ini kerana dia memiliki kerjaya yang lebih baik.

“Untuk membeli motosikal berkuasa tinggi itu pun saya yang memberikan sebahagian wang kepadanya tetapi ini balasan dia kepada saya,

“Setelah berfikir masak-masak saya tekad dengan keputusan untuk minta dilepaskan jika suami saya memilih wanita tersebut.

“Ternyata suami saya lebih memilih wanita itu dan dia akhirnya akur untuk melepaskan saya demi bersama janda tersebut,” jelas Zura.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN