PETALING JAYA – Sambutan hari raya kelima di Kampung Melayu, Ayer Itam, Pulau Pinang dengan pertunjukan bunga api yang rancak digambarkan lebih meriah daripada sambutan tahun baru di pusat bandar malam tadi.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik di Threads oleh Ashraf_Wahab, suasana malam di kawasan perumahan tersebut diterangi dengan dentuman bunga api yang pelbagai warna sehingga menarik perhatian ribuan orang ramai.
Pengguna di Threads menyifatkan kemeriahan tersebut sebagai luar biasa bagi sebuah kawasan luar bandar dan ada yang mengatakan ia mampu menyaingi acara pembukaan sukan antarabangsa.
“Ini dah boleh selevel (sama taraf) bunga api pembukaan sukan olimpik,” kata Wn_Rzmn.
“Bunga api kat KLCC masa Merdeka dan New Year (Tahun Baru) pun tak rancak macam ni”, tambahnya lagi.
Orang ramai turut mempersoalkan semangat penduduk setempat yang sanggup berbelanja besar demi memeriahkan suasana hari raya bersama keluarga dan komuniti.
“Kaya betul orang-orang Melayu,” ujar Emmabalqis.-KOSMO! ONLINE
View on Threads














