TAKBIR raya yang sepatutnya bergema dengan penuh rasa syukur bertukar cemas berikutan satu tragedi yang sukar dilupakan tahun lalu.
Pada hari kedua Aidilfitri 2025, penulis sendiri tidak dapat merasai sepenuhnya suasana raya apabila terpaksa bergegas dari Seremban ke lokasi letupan paip gas ke Putra Heights, Subang Jaya.
Ketika orang lain masih beraya bersama ahli keluarga di kampung, penulis bertugas di lapangan, menggalas tanggungjawab mencari maklumat yang tepat untuk disampaikan kepada masyarakat.
Itulah tugasan hakiki seorang wartawan yang harus berada di barisan hadapan merakam setiap kejadian atau tragedi. Di lokasi kejadian, penulis menyaksikan sendiri kemusnahan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Kediaman penduduk hangus dijilat api, kenderaan pula rentung, malah terdapat haiwan peliharaan yang turut mati dalam musibah dahsyat tersebut. Lebih memilukan, ada penduduk yang kehilangan semuanya dalam sekelip mata termasuk kenangan yang dibina bertahun-tahun lamanya.
Baru-baru ini, penulis berpeluang menemu bual seorang warga emas yang masih memilih untuk tinggal di rumahnya yang hangus, tanpa bumbung, kerana terlalu sayang akan kenangan yang dibina sendiri sedikit demi sedikit selama puluhan tahun.
Keadaan itu benar-benar mengguris hati. Dalam suasana Syawal yang sinonim dengan kebahagiaan, masih ada insan yang menyambutnya dalam keadaan serba kekurangan, malah berdepan trauma yang belum sembuh.
Hakikatnya, tragedi seperti ini mengubah makna Aidilfitri bagi mereka yang terlibat. Raya bukan lagi tentang kegembiraan, tetapi kehilangan, kesedihan dan usaha untuk bangkit semula.
Menurut Pegawai Psikologi Kanan Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani, trauma yang dialami mangsa tragedi boleh menjadi lebih kuat pada musim perayaan kerana pelbagai pencetus emosi seperti bunyi mercun, suasana riuh dan kenangan lama yang kembali menghantui mereka.
Katanya, keadaan itu turut mewujudkan emosi berbeza apabila orang lain bergembira, namun mangsa masih bergelut dengan kesedihan sehingga menimbulkan rasa terasing selain tekanan sosial untuk kelihatan ceria walaupun hakikatnya tidak mampu.
“Dalam situasi ini, mangsa boleh mengalami gejala seperti imbas kembali kejadian (flashback), gangguan tidur, kegelisahan serta perasaan kosong atau kebas emosi kerana minda mereka masih berada dalam ‘mode’ berjaga-jaga walaupun keadaan sebenar sudah selamat,” ujarnya.
Tambah beliau, adalah normal sekiranya mangsa memilih untuk menyendiri atau mengelak suasana perayaan sebagai mekanisme perlindungan diri.
“Justeru keluarga dan masyarakat perlu memainkan peranan dengan menunjukkan empati, memberi ruang tanpa tekanan serta menjadi pendengar yang memahami bagi membantu proses pemulihan mereka,” ujarnya.
Dalam konteks ini, Syawal seharusnya bukan sekadar perayaan yang diraikan dengan kemeriahan, tetapi juga ruang untuk memahami dan menyelami kesedihan orang lain.
Ini kerana di sebalik lampu raya yang bergemerlapan, masih terdapat jiwa yang bergelut dalam diam, cuba menerima kenyataan, mengubat luka dan meneruskan kehidupan tanpa rasa yang sama seperti dahulu.














