KOLAM ini yang terletak tidak jauh dari sungai memberikan suasana semula jadi yang cukup menarik. Terdapat tiga buah kolam utama di sini yang menempatkan beberapa spesies ikan popular seperti siakap putih, siakap merah dan jenahak.
Perjalanan trip kami bermula seawal pagi selepas bersahur. Kami bertolak dari Setia Alam, Selangor dalam keadaan jalan yang masih lengang kerana kebanyakan orang masih berehat. Perjalanan menuju ke Banting mengambil masa kira-kira satu jam sahaja.
Dalam perjalanan tersebut, kami sempat berhenti di sebuah masjid berhampiran untuk menunaikan solat subuh sebelum meneruskan perjalanan ke kolam.
Suasana pagi yang sejuk dan tenang memberikan semangat tambahan kepada kami untuk memulakan aktiviti memancing pada hari itu, lebih-lebih lagi kerana memancing ketika berpuasa memerlukan tenaga dan perancangan yang baik.
Sekitar pukul 7.30 pagi, kami akhirnya tiba di lokasi. Suasana di kolam sudah mula meriah dengan beberapa orang pemancing yang datang lebih awal.
Seperti yang diketahui ramai, salah satu tarikan utama kolam ini adalah yuran pendaftarannya yang sangat murah. Setiap pemancing hanya dikenakan yuran pendaftaran sebanyak RM3 sahaja.
Dengan bayaran serendah itu, pemancing sudah boleh memulakan sesi memancing di kolam yang disediakan. Konsep ini sememangnya menarik kerana ia membuka peluang kepada lebih ramai pemancing untuk menikmati hobi memancing tanpa perlu kos yang tinggi.

Umpan
Kami memilih untuk menggunakan soft plastic (SP) saiz sekitar lima hingga lapan sentimeter. SP merupakan antara gewang yang cukup popular kerana ia mampu menghasilkan aksi renangan yang menyerupai ikan kecil yang cedera.
Di kolam ini pihak pengurusan turut menyediakan udang hidup yang dijual kepada pemancing yang ingin menggunakannya. Jika penggunaan SP kurang menjadi, ramai yang bertukar umpan universal ini.
Walau bagaimanapun, penggunaan SP lebih menjimatkan kerana ia boleh digunakan berulang kali selagi tidak rosak. Selain itu, aksi yang dihasilkan ketika dikarau perlahan sering membuatkan ikan menjadi lebih agresif untuk menyambar.
Persediaan
Saya menggunakan set pancing ringan yang lebih sesuai untuk kolam berbayar. Pilihan saya ialah joran ultralight berkekuatan dua hingga enam paun (lb) dipadankan dengan kekili saiz kecil yang memuatkan mainline 10lb yang bersambung dengan perambut 20lb.
Set-up seperti ini dirasakan cukup sesuai dengan saiz ikan yang terdapat di kolam ini. Setiap sambaran ikan terasa lebih menyeronokkan dan memberikan kepuasan. Tambahan, memancing dalam bulan puasa memerlukan peralatan yang tidak terlalu berat supaya tidak cepat memenatkan.
Seperti yang dijangka, awal pagi sememangnya merupakan waktu terbaik untuk memburu ikan siakap putih di kolam ini. Keadaan air kolam yang tenang serta suhu yang masih sejuk membuatkan ikan menjadi lebih aktif.
Tidak sampai satu jam selepas memulakan sesi mengilat, saya sudah berjaya menaikkan lebih daripada empat ekor siakap putih. Kebanyakan sambaran berlaku ketika SP dikarau perlahan berhampiran permukaan air.

Saiz ikan siakap putih di kolam ini kebanyakannya dalam anggaran 300 hingga 500 gram seekor. Walaupun tidak besar, namun saiz tersebut cukup menyeronokkan untuk dilayan dengan set pancing ultra ringan. Bagi pemancing yang ingin mengasah kemahiran atau sekadar hendak melepaskan rindu memancing, kolam ini memang sesuai dijadikan lokasi pilihan.
Namun, terdapat satu peraturan penting di kolam ini iaitu setiap ikan yang berjaya dinaikkan tidak boleh dilepaskan semula ke dalam kolam.
Pemancing perlu membawa pulang ikan yang telah didaratkan. Sebelum pulang, semua ikan perlu dibawa ke kaunter untuk ditimbang dan dibuat bayaran. Harga yang dikenakan untuk ikan siakap putih adalah RM23 sekilogram.
Bergasak
Pada pagi itu, kami memang boleh dikatakan ‘berpesta’ ikan. Suasana menjadi semakin rancak apabila masing-masing mula menerima strike demi strike. Ada antara kami yang berjaya menaikkan enam hingga tujuh ekor siakap putih seorang.
Walaupun penat tetapi keseronokan melayan tarikan ikan membuatkan kami terus bersemangat. Hasil tangkapan tersebut juga cukup untuk dijadikan bekalan lauk berbuka sepanjang bulan Ramadan.
Secara keseluruhannya, kolam berbayar seperti ini merupakan satu konsep yang sangat baik dan wajar diperbanyakkan. Selain memberikan peluang kepada pemancing untuk menikmati hobi mereka dengan kos yang rendah, ia juga menyediakan satu tempat rekreasi yang santai untuk sekeluarga.
Dengan lokasi yang menarik, kemudahan yang mencukupi serta konsep bayaran yang berpatutan, tidak hairanlah jika Kolam RM3
Jugra ini sentiasa mendapat sambutan hangat daripada pemancing dari pelbagai kawasan.
















