PETALING JAYA – Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada 29 Mac ini dan akan sehingga Mei depan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Dr. Mohd Hisham Bin Mohd Anip berkata, fasa itu menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang bermula sejak 13 November tahun lalu.
Langkah persediaan awal itu sangat penting memandangkan rantau negara akan mula menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang cenderung menggalakkan pembentukan awan ribut petir.
“Keadaan ini lazimnya membawa kepada kejadian hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh masa yang singkat, terutamanya pada waktu petang dan awal malam.
“Ia kerap berlaku di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan pusat Sarawak,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Mohd Hisham mempercayai bahawa melalui pemantauan cuaca yang kerap, orang ramai mampu mengelakkan risiko bencana yang lebih besar.
Fenomena cuaca ini mempunyai potensi tinggi untuk menyebabkan kejadian banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
Selain itu, Mohd Hisham dalam kenyataan menegaskan bahawa orang ramai perlu sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh jabatan tersebut.
“Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa merujuk laman web rasmi, aplikasi myCuaca serta media sosial rasmi jabatan.
“Hubungan komunikasi antara jabatan dan masyarakat adalah kunci untuk memastikan keselamatan semua pihak terjamin sepanjang fasa ini berlangsung,” katanya.
MetMalaysia terus memperkasakan penyampaian maklumat cuaca secara tepat, di mana sinergi antara amaran awal dan tindakan segera masyarakat kekal menjadi pemacu utama dalam meminimumkan impak bencana menjelang pertengahan tahun 2026. – KOSMO! ONLINE














