KUALA TERENGGANU – Anak bongsu Nurul Hafizah Shaary berusia empat tahun yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 59, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Felda Jerangau, Dungun semalam menghembuskan nafas terakhir dalam pelukan datuk saudaranya.
Allahyarham Nur Radya Athalia Mohamad Redzuan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Klinik Kesihatan Jerangau, Dungun manakala ibunya, Nurul Hafizah Shaary, 39, serta abangnya, Muhammad Redzuan Arash, 13, maut di lokasi kejadian.
Datuk saudara mangsa, Mohd. Tarmizi Said, 42, berkata, dia memeluk erat kanak-kanak itu sepanjang perjalanan ke Klinik Kesihatan Jerangau untuk mendapatkan rawatan.
“Keadaan waktu itu agak tegang dan perjalanan ke klinik kesihatan yang sebenarnya dekat dirasa agak lama, saya dapat rasakan tubuh dia (Nur Radya Athalia) makin lama makin lemah.
“Gugur air mata saya apabila dia ‘pergi’ dalam pelukan saya sebaik tiba di klinik kesihatan. Saat itu sukar dilupakan dan masih terkenang-kenang sehingga sekarang,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.
Terdahulu Nur Radya Athalia bersama ibu dan tiga abang dan kakaknya terlibat nahas sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah di Ajil, Hulu Terengganu setelah menghadiri majlis perkahwinan ibu saudaranya di Sura, Dungun.
Dua lagi kakaknya iaitu Nur Rakhis Aral Yn, 9, dan Nur Raesha Amanda, 14, cedera parah dalam kemalangan tersebut. – KOSMO! ONLINE














