KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menekan ‘butang panik’ susulan kemerosotan ranking Harimau Malaya selain mahu reformasi menyeluruh demi memulihkan semula imej bola sepak negara.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Taufiq Johari dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum ranking terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang menyaksikan skuad kebangsaan jatuh 14 anak tangga daripada kedudukan ke-121 ke tangga ke-135 dunia.
Taufiq berkata, perkembangan itu berpunca daripada keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang membatalkan dua kemenangan Malaysia dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 ke atas Vietnam dan Nepal susulan isu pemain warisan yang melanda skuad kebangsaan.
“Saya turut merasai kekecewaan rakyat Malaysia, khususnya peminat bola sepak tempatan berhubung penurunan ranking ini, serta kontroversi yang melanda skuad kebangsaan sejak beberapa bulan lalu.
“Semua pihak harus mengambil iktibar daripada perkara ini dan pemerkasaan bola sepak tanah air perlu terus diperhebat.
“Saya berharap langkah-langkah wajar akan diambil agar perkara seumpama ini tidak berulang lagi pada masa akan datang,” katanya hari ini.
Selain itu, Taufiq menegaskan KBS kekal dengan pendirian untuk tidak campur tangan dalam urusan pengurusan FAM, tetapi akan terus memainkan peranan memperkasa pembangunan bola sepak tempatan menerusi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).
“Pembangunan bola sepak, terutama di peringkat akar umbi, perlu diteruskan dan saya menggesa semua rakyat Malaysia supaya terus memberikan sokongan kepada sukan ini.
“Pada masa sama, KBS akan terus mengadakan sesi libat urus berkala dengan FAM untuk mendapatkan maklum balas mengenai strategi mereka bagi mengelakkan kejatuhan ranking yang lebih lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE














