fbpx
Tangkap layar komen di media sosial dimana seorang pengguna menceritakan tentang kisah pernah dibantu oleh Dr Wan Azizah melalui surat rasmi yang dihantar kepada jabatan menteri ketika itu.

Rezeki tidak salah alamat, surat ‘disambut’ Dr. Wan Azizah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang wanita yang buntu memikirkan nasib ibunya yang tenat menarik nafas lega apabila permohonan bantuan melalui saluran rasmi mendapat maklum balas yang cepat.

Terdahulu, seorang pengguna di media sosial berkongsi sekeping nota mengandungi butiran lengkap alamat surat-menyurat pejabat menteri bagi memudahkan urusan rakyat yang memerlukan.

Hantaran tersebut mendapat maklum balas positif oleh orang ramai yang berkongsi pengalaman peribadi tentang bagaimana tindakan mengikut prosedur rasmi berjaya mengubah nasib keluarga mereka dalam sekelip mata.

Meninjau ke ruangan komen, seorang pengguna menceritakan kisah tentang salah seorang kakitangannya yang pernah buntu memikirkan nasib ibu yang sakit tenat di Sabah tetapi tidak mempunyai wang yang cukup untuk tampung kos pemindahan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Masa itu dia baru bercerai, hilang tempat bergantung, maknya pula sakit tenat tiba-tiba dan tak cukup duit nak beli tiket penerbangan, tak tahu nak cari duit dekat mana.

“Dia buat keputusan untuk tulis surat rasmi dekat Timbalan Perdana Menteri di mana masa itu Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang jadi sebab dia nampak Wan Azizah ini sangat jaga kebajikan ibu tunggal so (jadi) dia cuba nasib sebab dah terlalu buntu,” katanya dalam hantaran tersebut.

Dia berkata, rezeki kakitangannya itu tidak salah alamat apabila dia dihubungi oleh pihak pejabat berkaitan dalam tempoh beberapa hari sahaja untuk mendapatkan butiran lanjut.

Oleh kerana surat rasmi yang dihantar lengkap dengan lampiran yang terlibat, urusan pemindahan ibunya dari Sabah ke Kuala Lumpur berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam sahaja.

“Alhamdulillah selamat pembedahan dan mak dia survive (bertahan) sampai lah hari ini. Terima kasih kerana cakna dan ambil peduli pertolongan rakyat,” jelasnya.

Selain itu, seorang pengguna lain turut menceritakan pengalamannya yang serupa apabila permohonannya mendapat perhatian sewajarnya.

“Saya pun pernah hantar surat, masa itu sekadar ikhtiar dan jangkakan tidak akan dilayan tetapi saya dapat maklum balas surat sokongan daripada jabatan berkaitan untuk membantu masalah saya ketika itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, orang ramai turut dinasihati agar mempunyai empati dan tidak menyalahgunakan saluran rasmi tersebut dengan menghantar ‘surat layang’ tanpa dokumen kerana ia boleh menjejaskan peluang mereka yang dalam kesusahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN