GOANIA – Pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi meneruskan aksi cemerlang dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) selepas memenangi Grand Prix (GP) Brazil di Litar Antarabangsa Ayrton Senna awal pagi semalam.
Dia yang memulakan perlumbaan di petak kedua mempamerkan aksi cukup konsisten sepanjang saingan selain dibantu rakan sepasukan, Jorge Martin bagi mengekang asakan dilakukan pelumba-pelumba lain.
Bezzecchi menyuarakan rasa puas atas kemenangan yang dilakar memandangkan dia berdepan kesukaran sepanjang minggu perlumbaan, termasuk catatan masa kurang memberangsangkan dalam usaha mendapatkan tetapan jentera terbaik.
“Saya sangat gembira kerana ia satu minggu yang sukar, terutamanya ketika sesi ujian bebas di mana ami tidak bermula dengan baik. Ia menyebabkan saya sukar untuk mengekalkan motivasi tetapi kami berjaya melakukannya.
“Saya mengerah segala kemampuan yang ada bagi mendapatkan tetapan jentera terbaik. Saya ada melakukan beberapa perubahan mengikut gaya tunggangan sendiri dan ia membuahkan hasil, jadi saya sangat gembira,” katanya.
Sebagai rekod, ini merupakan kemenangan keempat berturut-turut buat pelumba Itali itu sejak akhir saingan musim lalu, sekali gus menjadikan dia antara pelumba pilihan untuk menjadi juara musim ini.
“Saya juga bangga kerana dapat menjadi salah seorang pelumba yang mencatat empat kemenangan berturut-turut. Bagaimanapun, kami tidak boleh leka dan perlu kekal fokus untuk perlumbaan akan datang,” ujar Bezzecchi. – AGENSI














