fbpx
PENGGUNA boleh menternak lebah di dalam rumah dengan selamat menerusi produk atau gajet yang dinamakan Symbiotic itu.

Inovasi sofistikated sarang lebah dalam rumah, mampu hasilkan 1 kilogram madu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LAZIMNYA, kawasan hutan yang jauh dari penempatan manusia dianggap sebagai lokasi strategik untuk ternakan madu lebah bagi mengelak serangga itu mengancam keselamatan orang di sekeliling.

Bagaimanapun, dalam era pembangunan yang semakin pesat, ruang untuk ternakan madu lebah tidak lagi terbatas kepada alam semula jadi semata-mata.

Hal ini kerana, syarikat Futuristic Beehive yang berpangkalan di Zagreb, Croatia telah berjaya membangunkan teknologi ternakan lebah madu di kawasan bandar secara praktikal dan mesra pengguna.

Boleh diletakkan di dalam rumah, reka bentuk sarang lebah dengan anggaran saiz kira-kira 43 sentimeter (sm) x 43sm dengan ketebalan (kedalaman) 8sm itu membolehkan pemilik kediaman menjalankan ternakan tanpa perlu melakukannya secara tradisional.

Dengan teknologi tersebut, sekurang-kurangnya satu kilogram madu dapat dihasilkan.

Pengasas Futuristic Beehive, Ivan Mlakic berkata, produk yang diberi nama Symbiotic itu bukan sekadar gajet, sebaliknya ia boleh dijadikan medium pendidikan bagi menggalakkan orang ramai terlibat dengan ternakan madu lebah.

“Matlamat utama kami adalah untuk menyelamatkan populasi lebah yang semakin terancam dengan cara membawa kepada persekitaran manusia (rumah).

“Kami percaya usaha ini dapat memupuk kesedaran orang awam terhadap peranan penting lebah terhadap ekosistem, sekali gus menjadi satu penyelesaian ekologi,” katanya.
Mlakic juga menekankan bahawa penciptaan Symbiotic bertujuan untuk membuktikan bahawa teknologi tidak semestinya memisahkan manusia dengan alam sekitar.

TEKNOLOGI moden masa kini membolehkan ternakan madu lebah dapat dibuat tanpa menggunakan kaedah tradisional.

Sebaliknya, ia boleh menjadi ‘jambatan’ agar kehidupan manusia dan haiwan dapat diseimbangkan, sekali gus hidup bersama secara harmoni.

“Kami membangunkan Symbiotic dengan kombinasi bahan moden tahan lasak dan selamat untuk lebah menghasilkan madu.

“Malah, ia tidak mengandungi toksik dan mengeluarkan bau kimia yang boleh mengganggu koloni.

“Panel bahagian hadapan sarang diperbuat daripada bahan lut sinar (akrilik lut sinar atau polikarbonat) yang tebal dan tahan calar.

“Ia bagi membolehkan pengguna melihat aktiviti lebah di dalam sarang dengan jelas tanpa perlu membuka penutup.

“Keadaan lut sinar ini juga membolehkan golongan kanak-kanak melihat sendiri keajaiban struktur lebah dan proses penghasilan madu tanpa rasa takut atau bahaya.

“Bahan plastik dirawat dengan salutan tahan sinar ultra ungu digunakan pada Symbiotic supaya tidak rapuh atau berubah warna (kekuningan) apabila terkena cahaya matahari dari tingkap rumah,” ujarnya dalam Instagram.

Bagi memastikan keadaan lebah terjamin sewaktu membuat sarang, komponen elektronik dan cahaya LED diletakkan pada bahagian dalam bingkai.

Sementara itu, litar elektronik berfungsi sebagai penderia untuk mengetahui tahap suhu dan kelembapan sarang.

Sementara lampu LED direka khusus agar tidak memanaskan atau mengakibatkan silau berlebihan pada lebah.

Bahagian luar sarang pula diperbuat daripada plastik futuristik, manakala bingkai tempat lebah membina sarang (frames) dibuat menggunakan elemen kayu atau bahan yang menyerupai tekstur semula jadi.

Sementara itu, bagi menjamin keselamatan dan keselesaan lebah saat berada di dalam sarang, Mlakic menggunakan bahan berkualiti agar mudah dipasang, tidak terlalu berat dan cukup kuat menampung madu.

Satu lagi elemen menarik sarang itu, lebah akan masuk dan keluar untuk mencari nektar serta debunga menerusi tiub laluan yang menyambungkan sarang terus ke luar dinding atau tingkap rumah.

Tiub tersebut bertindak sebagai ‘lebuh raya’ yang membolehkan lebah terbang keluar ke kawasan berbunga, kemudian masuk semula ke dalam sarang melalui laluan sama.

Nektar yang dibawa balik akan disimpan di dalam sel-sel heksagon, sebelum diproses menjadi madu oleh lebah di dalam unit itu.

Disebabkan sistem ini kedap udara terhadap ruang bilik, lebah tidak akan terlepas masuk ke ruang lain dalam rumah.

Mlakic turut menyatakan komitmennya untuk terus menambah baik teknologi penderia (sensor) dan sistem pemantauan kecerdasan buatan (AI) dalam unit tersebut.

Langkah itu bagi memastikan kesihatan koloni sentiasa optimum di bawah jagaan pengguna amatur.

Teknologi moden itu akan bertindak sebagai pakar digital untuk membantu pengguna memantau keadaan lebah tanpa perlu membuka sarang secara manual.

“Sensor akustik (bunyi) akan menangkap getaran dan frekuensi bunyi lebah, sekali gus menganalisis corak untuk mengesan jika koloni sedang dalam keadaan stres, lapar atau bersedia untuk swarming (berpindah).

“Penderia suhu dan kelembapan yang tepat dapat memastikan persekitaran dalaman kekal pada suhu optimum untuk pengeraman larva, terutamanya semasa musim sejuk atau panas melampau.

“Sasaran utama menggunakan AI adalah untuk mengurangkan kadar kematian koloni (yang biasanya tinggi dalam kalangan amatur) melalui pemantauan proaktif,” katanya.

Oleh itu, penggunaan sarang lebah futuristik membuktikan bahawa teknologi boleh digabungkan dengan aktiviti tradisional. Gabungan itu dapat memudahkan masyarakat bandar menghasilkan madu sendiri serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan melindungi lebah sebagai agen penting dalam sistem ekologi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN