TUMPAT – Dua tekong darat termasuk seorang wanita tidak sempat menerima upah masing-masing RM500 selepas kenderaan dipandu mereka yang membawa 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di Kampung Chat di sini minggu lalu.
Tangkapan ke atas warga Myanmar itu dilakukan kira-kira pukul 5.30 pagi, Rabu lalu sewaktu anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan rondaan di sekitar Pengkalan Kubor di sini.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pihaknya mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Rush diparkir di tepi jalan.
“Pemeriksaan terhadap pemandu lelaki berusia 53 tahun dan wanita 49 tahun itu tidak menemui barangan yang menyalahi undang-undang.
“Pemeriksaan lanjut ke atas Perodua Alza dipandu suspek lelaki menemui tujuh PATI Myanmar termasuk dua wanita. Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Di dalam SUV Toyota Rush, kita menemukan tujuh PATI warga sama termasuk dua wanita,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Radzi berkata, hasil soal siasat mendapati, dua tekong darat itu mengaku menerima upah RM500 untuk membawa PATI. MPV dan SUV itu dipercayai disewa dari sebuah syarikat di Selangor sebanyak RM500 seminggu.
“Siasatan lanjut mendapati, kesemua PATI diambil di kawasan Kampung Pulau Besar, Tumpat dipercayai untuk dihantar ke Johor. Mereka dipercayai memasuki Malaysia melalui Sungai Golok yang bersambung dengan Sungai Kelantan di Kampung Pulau Besar,” ujarnya
Selain MPV dan SUV, pihak PGA merampas 20 buah telefon bimbit. Dua tekong darat dan kesemua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat untuk siasatan di bawah Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963. – KOSMO! ONLINE














