MELAKA – Taktik licik berselindung menggunakan pas pelancong bagi menjalankan penipuan khidmat seks dalam talian berjaya dipatahkan apabila polis menahan 15 individu dalam satu serbuan di Kampung Lapan, Tengkera di sini, Khamis lalu.
Serbuan kira-kira pukul 6 petang di sebuah rumah teres dua tingkat itu membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan bersama 13 warga China terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita berusia antara 26 hingga 49 tahun.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, premis berkenaan dipercayai dijadikan pusat panggilan bagi memperdaya mangsa dari Taiwan melalui tawaran khidmat seks yang sebenarnya tidak wujud.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong sejak awal Mac sebelum menjalankan kegiatan penipuan secara dalam talian.
“Modus operandi sindiket adalah menawarkan perkhidmatan seks palsu kepada mangsa sebelum meminta bayaran tertentu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Batu Berendam, di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi berkenaan dijalankan oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Melaka Tengah.
Katanya, hasil serbuan turut menemukan pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut termasuk 13 unit komputer, 40 telefon bimbit serta kelengkapan sokongan lain.
“Selain itu, dua dokumen perjalanan turut dirampas dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM85,000. Kesemua suspek kini direman selama empat hari bermula 20 hingga 23 Mac bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta beberapa peruntukan Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














