PETALING JAYA – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyuarakan kebimbangan terhadap kelompongan kritikal dalam ekosistem e-hailing dan p-hailing negara, sekali gus ‘lubuk’ ancaman kepada keselamatan rakyat.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata, pihaknya tidak akan berdiam diri melihat hak pengguna diinjak-injak oleh sistem tidak lengkap dan penguatkuasaan lemah.
Menurutnya, PPIM berdiri teguh menyokong desakan Persatuan Kebajikan Pekerja E-Hailing Malaysia (PKEH).
“Isu keselamatan penumpang adalah maruah dan nyawa, bukannya perkara yang boleh dirunding di atas meja birokrasi yang berbelit.
“Sangat mendukacitakan apabila ketiadaan pangkalan data berpusat (centralised database) telah mewujudkan ‘sistem pintu belakang’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nadzim mempersoalkan bagaimana mungkin seorang pemandu dibuang kerja atau digantung kerana gangguan seksual di satu platform, masih bebas mencari mangsa baharu di aplikasi pesaing lain pada hari yang sama.
“Ini bukan sekadar kelemahan teknikal, ini adalah kecuaian sistemik. Kita seolah-olah membiarkan pemangsa (predator) terus berkeliaran di jalan raya
menggunakan lesen e-hailing,” katanya.
Beliau berkata, PPIM menyelar sekeras-kerasnya cadangan prosedur di bawah Akta Pekerja Gig 2025 yang mahu memberikan ruang bernafas atau tempoh rayuan sehingga 14 hari bagi kes-kes jenayah.
“Logik apa diguna pakai oleh kementerian? Adakah kita mahu menunggu 14 hari lagi untuk melihat anak, isteri atau ibu bapa kita menjadi mangsa seterusnya
sebelum tindakan diambil?
“Tempoh 14 hari ini adalah satu penghinaan kepada mangsa jenayah dan keselamatan pengguna awam. Nyawa tidak boleh menunggu siasatan birokrasi,”
katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, PPIM menutut tiga perkara dilaksanakan tanpa sebarang alasan demi melindungi hak pengguna Islam dan seluruh rakyat Malaysia.
“Pertama, sekatan automatik (real-time blanket ban) iaitu mewujudkan Pangkalan Data Senarai Hitam Berpusat dengan serta-merta. Sekali buat silap besar di aplikasi A, sistem mesti automatik ‘padamkan’ akses di aplikasi B, C, dan D secara ‘real-time’.
“Kedua, iktiraf tindakan tegas platform. Jangan jadikan birokrasi kerajaan sebagai penghalang, jika platform sudah sahkan ada gangguan seksual atau jenayah, pihak berkuasa mesti terus ambil tindakan hitam putih dan jangan beri muka kepada penjenayah.
“Ketiga, hapus tempoh 14 hari untuk kes jenayah. Kami tuntut pengecualian total terhadap tempoh rayuan bagi kes jenayah berat, gangguan seksual dan pemanduan berbahaya. Sekatan mesti mandatori dan serta-merta,” katanya.
PPIM bertegas supaya kerajaan tidak hanya pandai bertindak secara reaktif selepas sesuatu isu itu tular atau selepas menteri mengeluarkan arahan ad-hoc.
“Rakyat mahukan sistem yang kalis pencerobohan penjenayah. Jangan sampai pengguna hilang kepercayaan kepada industri e-hailing negara gara-gara
kelemahan undang-undang yang longgar,” katanya. – KOSMO! ONLINE














