JEDDAH – Seorang jemaah lelaki ditahan selepas menunaikan solat di atas penghadang kaca di Masjidil Haram, kota suci Mekah, lapor portal berita The Siasat Daily.
Kejadian berlaku pada malam ke-27 Ramadan.
Rakaman video dimuat naik di platform X oleh akaun @TheSiasatDaily menunjukkan lelaki terbabit dengan selamba melaksanakan solat berjemaah di atas penghadang kaca.
Beberapa jemaah kedengaran menjerit dan memintanya untuk turun ke lantai.
Pihak Keselamatan Awam Arab Saudi mengesahkan bahawa jemaah berkenaan telah ditahan dan dibawa ke kawasan lain.
“Perbuatan itu menyebabkan dia terdedah kepada bahaya di samping melanggar arahan keselamatan yang berkuat kuasa di Masjidil Haram,” katanya di platform X. – AGENSI














