fbpx
Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin.

Waspada berbelanja, sedia payung sebelum hujan – Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru rakyat supaya berwaspada untuk berbelanja dan menghadapi segala kemungkinan ibarat ‘sediakan payung sebelum hujan’ .

Titah Sultan Sharafuddin, ketibaan Syawal diraikan dengan penuh rasa syukur, gembira dan semangat ukhuwah selepas sebulan umat Islam berpuasa.

“Namun, Beta mengambil maklum perkembangan global terutama konflik dan peperangan di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia Barat yang memberi kesan besar kepada umat Islam seluruh dunia.

“Justeru, ke arah mendepani sebarang ketidaktentuan terutama impak ekonomi, Beta menyeru rakyat bersedia apa jua kemungkinan termasuk berhati-hati berbelanja, bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan,” titahnya dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, hari ini.

Baginda bertitah, semua umat Islam perlu bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan Allah namun tidak boleh leka dan lalai.

“Beta mahu kita perlu terus memperkukuh kesatuan dan perpaduan sekali gus mengelak sebarang pertelingkahan dan perbalahan sesama sendiri. Jadikan apa yang berlaku di luar sana sebagai pedoman dan pengajaran kepada kita semua,” titahnya.

Sultan Sharafuddin mengharapkan semua pihak daripada pemimpin, ahli politik dan rakyat memberi tumpuan kepada usaha membangunkan negeri serta memakmurkan negara.

“Akhir kata, Beta mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat di Negeri Selangor khususnya dan Malaysia amnya. Semoga sambutan Aidilfitri ini membawa keberkatan, kebahagiaan dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat,” titahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN