JITRA – Cubaan lima pemandu trak pikap bernombor pendaftaran Thailand menyeludup 2,000 liter petrol ke negara itu berjaya dipatahkan polis di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, dekat sini semalam.
Dalam operasi khas bermula pada pukul 7 hingga 8 pagi itu, kesemua pemandu terdiri daripada lima lelaki Thailand dan seorang lelaki tempatan berusia 24 hingga 37 tahun ditahan bagi membantu siasatan
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pemeriksaan mendapati lima kenderaan tersebut diubah suai dengan pemasangan tangki tambahan dipercayai untuk menyeludup petrol ke Thailand.
“Dalam operasi khas itu, sebanyak lima pikap berpendaftaran asing ditahan selepas masing-masing membawa 400 liter untuk diseludup ke Thailand.
“Kita ambil maklum impak peperangan di Asia Barat terhadap ekonomi dunia termasuk masalah bekalan bahan api di negara jiran memungkinkan penyeludupan berlaku dari negara ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, di sini hari ini.
Katanya, jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan disita adalah sebanyak RM560,000.
“Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” ujarnya.
Beliau berkata, pada masa sama pihaknya menyiasat stesen minyak yang dipercayai menjual bahan api kepada sindiket penyeludupan tersebut.
“Saya minta semua pengusaha stesen minyak di negeri ini supaya bertanggungjawab, jangan bersubahat dalam kegiatan penyeludupan yang boleh menjejaskan ekonomi negara serta menggugat keselamatan awam.
“Kita akan terus mempergiatkan operasi dan pemantauan khususnya di kawasan sempadan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














