LOKASI ini merupakan salah satu taman rekreasi yang popular dalam kalangan penduduk setempat. Di sini juga ada tempat yang sesuai untuk memancing santai bersama
keluarga.
Selain memancing udang galah, ada pelbagai spesies ikan boleh dipancing seperti baung, patin, lampam, duri dan ketutu.
Acara
Pertandingan memancing udang galah ini diadakan bertujuan memeriahkan lagi suasana dan menjadikan Riverfront Pekan salah satu lokasi memancing bagi pengunjung dari luar daerah dan negeri Pahang.
Penganjur utama acara ini ialah Majlis Perbandaran Pekan dengan kerjasama Strike Bro Boat Charter.
Hadiah berupa wang tunai sebanyak RM500 disediakan untuk tempat pertama, tempat kedua (RM250) dan tempat ketiga (RM150).

Hadiah cabutan bertuah pula berupa sebuah basikal Shimano dan 20 hamper.
Untuk makluman, kawasan pertandingan adalah di sepanjang benteng Riverfront.
Tempatnya yang luas dan berpagar cukup selamat untuk peserta membawa keluarga memeriahkan pertandingan ini.
Hampir 100 orang pemancing menyertai acara ini, sekali gus menjadikan suasana cukup meriah apabila peserta berjaya menaikkan udang galah sebaik pertandingan bermula.
Banyak udang galah berjaya didaratkan, namun pada masa sama ada juga yang terlepas berikutan kedudukan benteng tinggi dari paras air sungai.
Selesai pertandingan, semua peserta berkumpul bagi majlis penyampaian hadiah yang disampaikan oleh wakil daripada Majlis Perbandaran Pekan, Nasrul dan pihak Strike Bro Boat Charter, Jamaluddin Mohd. Nor.














