KUALA LUMPUR – Syarikat kesihatan tempatan Eskayvie memperkenalkan versi baharu Mindtropic dan Mindtropic Junior dengan formulasi dipertingkat serta rekaan wajah baharu sebagai sebahagian daripada usaha menyokong perkembangan minda kanak-kanak dalam era digital.
Pengasas dan Pengarah Urusan Eskayvie, Dr Kartika Wati Mohamed berkata, pelancaran itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan syarikat dalam meningkatkan kesedaran masyarakat melalui kempen “Serlahkan Potensi Anak Anda.”
Beliau menjelaskan, kempen tersebut diwujudkan bagi menggalakkan ibu bapa melihat perkembangan minda anak sebagai satu tanggungjawab bersama yang memerlukan perhatian sejak usia awal.
“Realitinya hari ini dunia kanak-kanak telah berubah. Mereka membesar dalam
persekitaran yang sangat pantas dengan pelbagai rangsangan digital.
“Namun di sebalik semua itu, kita perlu ingat bahawa setiap anak dilahirkan dengan potensi tersendiri. Tugas kita sebagai ibu bapa dan masyarakat adalah untuk memastikan potensi itu disokong dan disuburkan setiap hari melalui persekitaran yang baik serta pemakanan yang seimbang,” katanya dalam kenyataan.
Kartika Wati menerangkan, pembangunan generasi masa depan tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata, tetapi turut dipengaruhi oleh nutrisi, rangsangan pembelajaran serta sokongan berterusan daripada keluarga dan masyarakat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Eskayvie, Dr Syid Ayob Syid Mustafa Al-Qudri menjelaskan, perkembangan otak kanak-kanak berlaku dengan sangat pesat terutama pada tahun-tahun awal kehidupan.
Menurut beliau yang juga formulator produk Mindtropic, dalam era digital hari ini, kanak-kanak terdedah kepada rangsangan visual yang sangat tinggi daripada peranti digital, sekali gus menjadikan keupayaan fokus dan kestabilan sistem saraf semakin penting.
“Dalam tempoh perkembangan ini, nutrisi memainkan peranan penting dalam
menyokong pembentukan sambungan sel-sel otak yang berkait rapat dengan memori, fokus dan proses pembelajaran.
“Apabila nutrisi yang betul disokong dengan rangsangan pembelajaran yang sesuai, ia membantu kanak-kanak mengekalkan fokus, memperkukuh daya ingatan serta membina keyakinan diri,” jelas beliau.
Versi baharu Mindtropic, yang sesuai untuk individu berusia 13 tahun ke atas, kini diperkaya dengan tambahan nutrisi seperti campuran beri, ubi bit dan magnesium glycinate yang membantu menyokong fungsi kognitif, meningkatkan kejelasan mental serta membantu mengekalkan kestabilan sistem saraf.
Bagi kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah, Mindtropic Junior turut diperkaya dengan lutein, nutrien penting yang membantu menyokong kesihatan mata serta melindungi mata daripada pendedahan cahaya biru akibat penggunaan peranti digital.
Dalam majlis pelancaran tersebut, Eskayvie turut memperkenalkan Owi, ikon baharu yang akan menjadi penghubung antara mesej kempen dan dunia kanak-kanak. -KOSMO! ONLINE














