COLOMBO – Sri Lanka mengisytiharkan setiap hari Rabu sebagai cuti bagi institusi awam untuk menjimatkan bahan api ketika Colombo bergelut dengan kekurangan bekalan berikutan perang Amerika Syarikat (AS) dan Israel menentang Iran, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
“Kita mesti bersedia untuk situasi terburuk, tetapi berharap yang terbaik,” kata Presiden Anura Kumara Dissanayake pada mesyuarat tergempar dengan barisan pegawai kanan kelmarin.
Minggu bekerja empat hari baharu Sri Lanka juga akan terpakai kepada sekolah dan universiti, tetapi tidak akan melibatkan institusi yang menyediakan perkhidmatan penting seperti pihak berkuasa kesihatan dan imigresen.
Kerajaan memilih hari Rabu dan bukannya Jumaat sebagai hari cuti tambahan supaya pejabat kerajaan tidak ditutup tiga hari berturut-turut.
Pengguna kenderaan juga dikehendaki mendaftar untuk Pas Bahan Api Nasional yang mencatu jumlah bahan api boleh dibeli oleh orang ramai.
Orang ramai bagaimanapun tidak puas hati kerana berpendapat kuota petrol 15 liter untuk kereta persendirian dan 5 liter untuk motosikal adalah terlalu rendah.
Mekanisme pencatuan itu pertama kali dilaksanakan pada tahun 2022 semasa krisis ekonomi terburuk negara itu. Krisis tersebut menyaksikan Sri Lanka kehabisan rizab asing dan tidak dapat mengimport barang keperluan serta membeli bahan api mencukupi. – AGENSI














