GUA MUSANG – Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri tahun ini tidak dirasai oleh seorang wanita di Kampung Kundur di sini apabila suaminya kini terlantar selepas diserang angin ahmar pada bulan lalu.
Tukang urut, Saidah Abd. Ghani, 60, berkata, dia hanya membuat persiapan ala kadar untuk memberikan perhatian sepenuhnya kepada suami, Mohd. Nawi Mohd. Noor, 60.
Katanya, dia tidak dapat keluar mengurut sejak suaminya tiba-tiba diserang angin ahmar dua hari sebelum Ramadan.
“Sebelum ini, suami bekerja sebagai pemandu lori sawit dan apabila dia sakit kami berdua kurang sumber pendapatan.
“Buat masa ini, kami bergantung sepenuhnya kepada bantuan Sara dan sumbangan orang ramai,” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri Galas, Datuk Mohd.
Syahbuddin Hashim dan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Gua Musang, Bun Tham Eh Gin di Kampung Kundur di sini kelmarin.
Menurut Saidah, anak lelakinya bekerja di ibu negara manakala anak perempuan sudah berkeluarga dan menetap di Kuala Krai.
Tambahnya, dia tidak mengharapkan kedua anaknya itu kerana mereka juga ada komitmen dan perbelanjaan yang perlu ditanggung untuk keluarga masing-masing.
“Raya ala kadar sebab perlu berjimat untuk kos perubatan suami. Selain suami, saya sendiri mengidap ketumbuhan dalam peti suara,” katanya.
Ujar Saidah, pendapatannya sebagai tukang urut tidak menentu kerana tidak pernah menetapkan bayaran khusus kepada pelanggan.
Katanya, dia sudah membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan bulanan JKM untuk membantu meringankan bebannya.
“Saya ada terima bantuan Sumbangan Asas Rahmah RM100 sebulan dan ia membantu meringankan beban,” katanya.
Ujar Saidah, dia bersyukur menerima sumbangan daripada orang ramai termasuk jiran dan ahli keluarga terdekat yang bersimpati dengan keluarganya yang terputus sumber pendapatan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Saidah di talian 013-370 4889.














