SUNGAI BULOH – Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk anjuran Media Mulia dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menjadi platform menyantuni masyarakat sempena Ramadan.
Program yang berlangsung di Masjid Al Huda, Paya Jaras di sini kelmarin menyaksikan agihan sebanyak 1,000 bubur lambuk kepada orang ramai sebagai simbolik semangat berkongsi rezeki pada bulan yang penuh keberkatan.
Ketua Cawangan Penjenamaan, Media dan Perhubungan Awam PERKESO, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, pihaknya sentiasa komited melaksanakan program berbentuk kemasyarakatan bagi mendekati golongan memerlukan.

Menurutnya, PERKESO tidak melepaskan peluang untuk bekerjasama dengan Media Mulia dalam menjayakan program tersebut, sekali gus mengukuhkan hubungan yang telah lama terjalin antara agensi itu dan pihak media.
“Apabila Media Mulia mengajak PERKESO bekerjasama menjayakan Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk pada minggu terakhir Ramadan ini, kami memberi komitmen sepenuhnya kerana hubungan antara PERKESO dan rakan media sangat baik selama ini,” katanya ketika ditemui pada program tersebut di sini kelmarin.
Tambah beliau, pemilihan bubur lambuk sebagai hidangan agihan juga amat sinonim dengan Ramadan kerana sudah menjadi tradisi masyarakat setiap kali menjelang waktu berbuka puasa.
Program tersebut juga merupakan kesinambungan kepada inisiatif kebajikan PERKESO termasuk pelaksanaan Bakul Makanan Ziarah Madani sempena Aidilfitri.
“Program Bakul Makanan Ziarah Madani telah dilancarkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan dan melalui inisiatif itu, hampir 20,000 bakul makanan akan diagihkan ke seluruh negara kepada rakyat Malaysia yang memerlukan bagi membantu persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya.
Sementara itu, penyediaan bubur lambuk bagi Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk di Masjid Al Huda bermula seawal pukul 9 pagi dengan bantuan kira-kira 10 sukarelawan.

Ketua tukang masak, Othman Abd Kadir, 57, berkata, persiapan memasak sebenarnya telah dimulakan lebih awal bagi memastikan segala kelengkapan dan bahan tersedia sebelum proses memasak dijalankan.
“Biasanya kami mula memasak sekitar pukul 9 pagi, tetapi persediaan seperti tempat dan peralatan perlu dibuat lebih awal, kira-kira pukul 8 pagi supaya semuanya berjalan lancar,” katanya.
Menurut beliau, bagi penyediaan bubur lambuk untuk program tersebut, sebanyak tiga periuk besar digunakan yang melibatkan kira-kira 10 kilogram beras selain pelbagai bahan lain bagi menambah rasa dan aroma.
“Antara bahan utama yang digunakan termasuk halia, serbuk lada hitam, santan, bawang serta helba yang ditumis terlebih dahulu bagi menaikkan bau dan rasa bubur lambuk,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, beliau yang juga jurunikah dan aktif dalam Biro Kebajikan Masjid Al Huda berkata, antara cabaran utama menyediakan bubur lambuk dalam kuantiti besar adalah memastikan persediaan peralatan dan tenaga kerja mencukupi.
Othman berkata, peluang menyediakan makanan untuk orang ramai yang berpuasa juga memberi kepuasan tersendiri kerana dianggap sebagai satu amalan kebajikan.

“Walaupun penat, kita lakukan dengan ikhlas. Mudah-mudahan usaha kecil ini memberi manfaat dan keberkatan kepada semua,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarang Kosmo!, Ismail Daud berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada PERKESO dan KESUMA atas kerjasama yang diberikan bagi menjayakan program tersebut sempena Ramadan.
Menurutnya, inisiatif tersebut bukan sahaja menjadi platform berkongsi rezeki dan keberkatan Ramadan, malah memberi peluang kepada pelbagai pihak untuk mendekati komuniti tempatan.
Pengurus Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh, Ikrami Mazli pula berkata, penganjuran program seumpama itu memberi peluang kepada pelbagai pihak untuk mendekati masyarakat sambil membantu golongan yang memerlukan.
Beliau berkata, masjid yang terletak di DUN Paya Jaras dalam kawasan Parlimen Sungai Buloh itu merupakan masjid tertua di kawasan berkenaan dan turut dikenali sebagai Masjid Ungu, selain sering menjadi lokasi program kebajikan serta perkongsian rezeki bersama penduduk setempat. -KOSMO! ONLINE














