PETALING JAYA – Alliance Islamic Bank (AIS) terus memperkukuh komitmen kebajikan menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif sepanjang Ramadan tahun ini bagi membantu golongan memerlukan.
Ketua Pegawai Eksekutif AIS, Rizal Il-Ehzan Fadil Azim berkata, pihaknya bersyukur dapat meneruskan usaha kebajikan dalam bulan yang penuh keberkatan itu.
“Kami amat bersyukur dapat melaksanakan inisiatif ini dalam bulan Ramadan. Kerjasama erat bersama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) serta sokongan pelbagai pihak amat kami hargai.
“Usaha seperti ini memberi inspirasi kepada kami untuk terus memainkan peranan membantu golongan memerlukan serta memastikan tiada pihak tercicir menjelang Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, antara inisiatif utama ialah kerjasama dengan YKN menerusi program Sinar Kasih Ramadan: HER Journey di Kuala Lumpur yang memberi manfaat kepada kira-kira 150 peserta dalam membuat persiapan Aidilfitri.
Selain itu, bantuan turut diperluaskan ke Sarawak dengan penyaluran bakul makanan kepada 200 penduduk di Kampung Beradek, Kampung Tiga Api dan Kampung Haji Baki di Kuching. Dalam masa sama, sumbangan baju raya diagihkan kepada 150 kanak-kanak asnaf bagi menceriakan mereka menjelang perayaan.
Ketiga-tiga program berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi YKN, Datuk Seri Nancy Shukri.
Dalam usaha mengukuhkan hubungan komuniti, AIS turut menganjurkan majlis berbuka puasa dan tazkirah Ramadan bersama Mufti Wilayah Persekutuan di Masjid Asy-Syakirin pada 26 Februari lalu.
AIS juga menyertai program Sentuhan Prihatin: Bakul Makanan Aidilfitri anjuran Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Berdikari Kuala Lumpur dan Selangor dengan menyalurkan sumbangan kepada ahli persatuan tersebut.
Selain itu, bank berkenaan menyokong Rumah Pengasih Warga Prihatin melalui sumbangan pakaian raya kepada anak-anak yatim serta penganjuran majlis berbuka puasa bagi menyemarakkan semangat kebersamaan dalam komuniti. – KOSMO! ONLINE














