fbpx
AKUI Azlina, biarpun dia kini berada di menara gading, tabiat buruk mengambil dadah sukar dihapuskan kerana sudah terbiasa. – gambar hiasan

Terjerumus najis dadah angkara teman lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“DAHULU saya tidak percaya apabila orang kata sekali kita terjebak dalam kancah dadah, sukar untuk berpatah balik.

“Kini selepas melaluinya sendiri, ternyata kata-kata itu benar. Walaupun sudah banyak kali berubat, namun saya masih gagal meninggalkan dunia gelap itu,” kata Azlina (bukan nama sebenar).

Azlina merupakan seorang gadis berusia 23 tahun yang terjebak dalam kancah dadah selepas terpengaruh dengan teman lelakinya.

Biarpun keluarganya telah berkali-kali menghantarnya berubat, namun anak ketiga daripada empat beradik ini masih gagal meninggalkan kehidupan ‘kotornya’ itu.

Bercerita lanjut menurut anak kelahiran Ipoh, Perak ini lagi, dia mula diperkenalkan dengan najis dadah oleh teman lelakinya ketika di bangku sekolah lagi apabila berjinak-jinak dengan ais atau syabu.

Pada waktu itu, dia baru berusia 17 tahun dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

“Saya mengenali Aiman (bukan nama sebenar) ketika sama-sama menghadiri seminar SPM. Belajar di sekolah yang mana semua pelajarnya perempuan menyebabkan saya mudah perasan dan jatuh hati apabila diusik pelajar lelaki.

“Hubungan kami mula rapat sewaktu ditempatkan dalam satu kumpulan pembentangan yang sama. Kagum dengan kecerdikan Aiman dan atas alasan mahu belajar bersama-sama, kami saling bertukar-tukar nombor telefon.

“Tambahan pula kami dalam aliran sama iaitu sains tulen. Jadi, pasti banyak yang boleh dipelajari daripada situ,” ceritanya.

Seminggu selepas seminar tersebut berakhir, mereka mula bertemu di sebuah perpustakaan awam untuk belajar bersama secara berkumpulan.

Pada waktu itu, masing-masing membawa beberapa orang rakan sebagai teman rutin dan menjadikannya sebagai aktiviti mingguan selama beberapa bulan.

Tiga bulan perkenalan, Aiman kemudian meluahkan perasaan kepada Azlina. Tidak pernah menjalin hubungan dengan mana-mana pelajar lelaki sebelum ini, Azlina akui dia begitu gembira dan sangat ‘angaukan’ Aiman.

“Kami berikrar untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mendapat tempat di universiti yang sama sebaik tamat SPM.

“Pada waktu itu juga, Aiman mendedahkan dia mengambil ‘barang’ untuk fokus dan itu merupakan ‘resipi’ kecemerlangannya di dalam pelajaran.

“Saya begitu lurus dan tidak tahu apakah ‘barang’ yang dimaksudkan Aiman sehingga dia menyuruh saya mencubanya sendiri,” jelasnya.

Sebaik mengetahui ‘barang’ yang dimaksudkan Aiman merupakan sejenis dadah, Azlina menjadi berang dan nekad memutuskan hubungan tersebut.

“Geram rasanya apabila diperlakukan seperti itu. Bagi dia, ‘barang’ tersebut mungkin hanyalah perkara biasa dan dianggap seperti gula-gula sahaja.

“Tetapi sebagai gadis yang pada waktu itu inginkan perhatian, saya akui lemah apabila dipujuk rayu oleh Aiman. Tidak sampai dua minggu memutuskan hubungan, saya kembali semula menjalin kasih,” terangnya.

 


BIARPUN menolak pada awalnya, akhirnya Azlina termakan pujukan untuk mencuba dadah yang diberi teman lelakinya. –gambar hiasan

 

Jika ketika pertama kali ‘diperkenalkan’ dengan ‘barang’ menyebabkan Azlina berang, namun kini keadaan berubah sebaliknya.

Setiap kali melihat Aiman menghisap dadah, gadis ini mengakui dia sendiri menawarkan diri untuk mencuba. Bermula daripada sekadar mencuba, Azlina menjadi semakin terbiasa sehingga ketagih sehingga dia kini dia turut mengambil pil kuda, selain syabu.

“Saya berazam untuk berhenti mengambil ‘barang’ apabila melanjutkan pengajian di menara gading, Saya mahu mulakan hidup baru dan lari daripada Aiman.

“Tetapi hasrat tersebut sukar dan pasti gagal direalisasikan apabila Aiman mendapat tawaran melanjutkan pengajian di tempat yang sama dengan saya. Disebabkan benar-benar ingin berubah, saya meminta bantuan daripada keluarga.

“Sebaik mengetahui masalah dialami, keluarga begitu terkejut dan kecewa dengan kelakuan saya. Tetapi, apa mahu buat, nasi sudah menjadi bubur dan mereka bersetuju untuk membawa saya pergi berubat,” luahnya.

Setiap kali cuti semester, Azlina dibawa berubat dan dia mengakui berjaya merawat serta melupakan ketagihannya itu. Bagaimanapun, apabila semester baharu bermula, dia gagal mengawal diri dan mula mengambil ‘barang’ tersebut kerana sering dihasut Aiman.

Episod tersebut berlanjutan sehingga Azlina menamatkan pengajian. Biarpun dia kini sudah bekerja dan tidak lagi berhubungan dengan Aiman, namun gadis masih tidak dapat meninggalkan najis tersebut.

Begitupun, kata wanita ini, dia akan berpura-pura sudah bebas sepenuhnya daripada najis itu setiap kali bersama keluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN