PETALING JAYA — Suasana meriah di acara Absolut Bazar Gaya Raya 2026 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada minggu lalu bertukar menjadi mimpi ngeri apabila ramai pengunjung mendakwa menjadi mangsa kecurian penyeluk saku.
Menerusi perkongsian yang tular di aplikasi Threads, beberapa individu mendakwa kehilangan telefon bimbit mereka ketika sedang leka bersiar-siar di festival yang padat dengan orang ramai itu.
Menurut @_Nr.Syzwni, bukan dia seorang sahaja mangsa dalam kejadian tersebut, malah mendapati ramai lagi pengunjung mengalami nasib yang sama.
“Rupanya ramai juga yang kena curi telefon dekat Absolut Bazar,” katanya.
“Kena seluk poket tahu tahu hilang macam itu saja,” tambahnya.
Kata Mrsufian00, bukan telefon sahaja yang hilang malah beg yang dijadikan pameran juga dicuri semasa hari terakhir reruai (booth) dibuka.
Menerusi satu hantaran di Instagram Story oleh pelakon terkenal, Mira Filzah, turut meluahkan rasa terkilan apabila dua buah beg tangan jenama miliknya yang dijadikan pameran di reruai (booth) lesap dalam sekelip mata.
“Dua beg display (pameran) saya hilang, Mirae beg warna brown (coklat) dan nude (coklat cair) dalam sekelip mata,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














