KUALA LUMPUR – Iswanah Resources Sdn Bhd. (Iswanah) bakal membuka cawangan keduanya di Sungai Petani, Kedah dalam tempoh terdekat ini menunjukan pelan pengembangan syarikat melalui konsep francais yang ditawarnya telah mendapat sambutan menggalakkan daripada usahawan.
Malah, syarikat juga menerima pertanyaan dan cadangan daripada usahawan dari Singapura yang mahu membuka sebuah outlet di kawasan Selatan.
Iswanah Resources telah beroperasi sejak 10 tahun lalu dan kini memiliki 10 cawangan kendalian ibu pejabat, antaranya di Batu Caves, Bangi, Rawang, Senawang, Shah Alam dan Kota Damansara.

Syarikat memfokuskan kepada penawaran perkhidmatan gabungan akupuntur dan fisioterapi secara integratif dan sistematik.
Baru-baru ini, syarikat menawarkan peluang niaga berpotensi kepada usahawan untuk membuka cawangan Iswanah di seluruh negara yang memfokuskan kepada tawaran perkhidmatan akupuntur dan fisioterapi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Krishnan Kannan berkata, bersandarkan kepada permintaan yang menggalakkan itu, pihaknya lebih agresif merangka pelan untuk membuka 12 outlet baharu pada tahun ini.
Outlet sulung terdapat di Nilai, Negeri Sembilan yang dibangunkan menggunakan konsep francais telah menawarkan khidmat terbaik kepada para pelanggannya.
Menurut beliau, pembukaan outlet ini menjurus kepada penawaran dua perkhidmatan dalam satu tempat iaitu akupuntur dan juga fisioterapi.

“Usahawan yang berminat melabur dalam bidang perniagaan ini, pastinya berkeyakinan terhadap potensi perkhidmatan alternatif semakin tinggi dalam kalangan masyarakat khususnya kumpulan sasaran.
“Kami akan menyediakan latihan dan bimbingan kepada usahawan untuk membolehkan mereka mengoperasikan cawangan dengan sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama pelanggan syarikat di ibu pejabat Iswanah di Batu Caves dekat sini baru-baru ini.
Majlis buka puasa yang menerima kunjungan lebih 300 tetamu itu adalah program buat kali keenam yang dianjurkan syarikat.
Ia adalah anjuran Iswanah Group yang melibatkan Iswanah Resources (Iswanah Acupuncture and Physiotherapy); Iswanah Synergy (Franchise Management); Iswanah Global E commerce (Product Herb & nature), Iswanah Beauty & Wellness (Spa & Pusat Kecantikan) serta Unisync Digital (Digital Marketing Management). -KOSMO! ONLINE














