SEPANG – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan menyerahkan 160 projek pembinaan bilik darjah dan dewan terbuka bagi sekolah berkepadatan tinggi di seluruh negara membabitkan peruntukan sekitar RM150 juta.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, majlis penyerahan surat setuju terima projek berkenaan akan diserahkan kepada pemaju pada 2 April depan.
Beliau berkata, projek ‘quick win’ itu akan menggunakan kaedah sistem binaan berindustri (IBS) yang akan mengambil masa sekitar tiga hingga lapan bulan untuk disiapkan.
“Sebanyak 106 projek pembinaan bilik darjah akan diserahkan dimana membabitkan peruntukan RM100 juta. Tempoh pembinaan pula mengambil masa antara tiga hingga enam bulan dan boleh digunakan sepenuhnya menjelang Ogos.
“Selain itu, sebanyak 50 projek dewan terbuka akan diserahkan dengan kos pembinaan sekitar RM50 juta.
“Tempoh pembinaan akan mengambil masa antara tiga hingga lapan bulan dan dijangka siap antara Ogos hingga November,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Warisan, di sini hari ini.
Katanya, projek ‘quick win’ adalah kaedah baharu di bawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim demi keselesaan murid-murid terutama di sekolah berkepadatan tinggi di seluruh negara.
Ahmad berkata, pembinaan tambahan bilik darjah dan dewan terbuka itu akan dibina di atas tapak sekolah sedia ada menggunakan kaedah IBS.
Menurutnya, secara keseluruhan, Selangor menerima 41 projek pembinaan bilik darjah dan tertinggi berbanding negeri-negeri lain. – KOSMO! ONLINE














