BESUT – Air mata Azman Mohamad, 64, akhirnya tumpah pada Ramadan ini apabila terkenangkan anak bongsu, Nurly Shahirah yang terkorban dalam nahas ngeri melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Jun tahun lalu.
Pesara itu berkata, sebelum ini, biarpun sedih, naluri kebapaannya tetap tabah dan dia tidak pernah menitiskan air mata walaupun dikunjungi ribuan tetamu yang tidak putus-putus mengucapkan takziah atas pemergian Nurly Shahirah.
“Waktu itu mungkin saya sibuk melayan dan berbual dengan tetamu hingga tidak sempat melayan perasaan. Bulan puasa ini, kunjungan kurang kecuali dua orang dari Melaka dan Narathiwat (Thailand) pada awal Ramadan lalu.
“Saya cuma tinggal berdua dengan isteri (Kamariah Abdul Latif, 61) membuatkan kenangan bersama Nurly kembali terimbau,” katanya ketika ditemui di Kampung Gong Pasir, di sini semalam.
Dia menziarahi pusara Nurly pada waktu pagi dan petang setiap hari bagi melepaskan rindu.
“Sewaktu hayatnya, Nurly bukan sahaja gemar membantu ibu di dapur terutama pada Ramadan malah orang paling sibuk menghias laman rumah dengan pelita raya,” kata Azman.
Sementara itu, Kamariah berkata, dia teringat kenangan bertadarus al-Quran bersama arwah ketika Ramadan dan Nurly merupakan seorang hafizah yang cekap mengesan sebarang kesalahan bacaan dan tajwid.
“Juadah raya kesukaannya pula nasi minyak bersama gulai itik. Kami pasti teringat memori itu pada pagi raya nanti,” katanya.
Kosmo! pada 10 Jun 2025 melaporkan, hajat Nurly Shahirah untuk menjadi guru pendidikan khas tidak kesampaian apabila dia antara 15 pelajar UPSI yang terkorban nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak.
Rumah keluarga dan kubur Nurly Shahirah menjadi tumpuan ramai termasuk dari negara jiran selepas mengetahui kisahnya yang ditemui meninggal dunia dengan mendakap al-Quran. -KOSMO! ONLINE














