fbpx
Muhammad Hafiz putus jari telunjuk selain mengalami kecederaan di mata dan badan selepas mercun bola meletup di rumahnya di Kampung Tempoyak, Merbok dekat Sungai Petani semalam.

Budak 5 tahun mangsa pertama mercun di Kedah, putus jari telunjuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Seorang kanak-kanak lelaki dipercayai menjadi mangsa pertama kes mercun di Kedah apabila jari telunjuknya terputus selain cedera di bahagian mata dalam kejadian di Kampung Tempoyak, Merbok di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu turut menyebabkan sebahagian tangan kiri Muhammad Hafiz Muhammad Yusri, 5, cedera parah dan mengalami luka di bahagian perut.

Nenek mangsa, Robeah Abdul Rahman berusia lingkungan 70-an berkata, ketika kejadian cucunya itu baru sahaja sampai di rumah dari Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti).

“Sebaik sampai dari Pasti, dia dikatakan masuk ke dalam salah sebuah bilik, manakala abangnya keluar mengambil salah seorang kakaknya yang bersekolah di Sungai Layar.

“Tiba-tiba kami terdengar bunyi satu letupan kecil sebelum Muhammad Hafiz berlari keluar dari bilik berkenaan dalam keadaan menangis sambil memegang tangan kirinya yang berdarah menuju ke rumah saya terletak bersebelahan,” katanya ketika ditemui di Kampung Tempoyak, di sini hari ini.

Katanya, dalam keadaan terkejut dia sempat dimaklumkan oleh cucunya itu sebiji mercun bola telah meletup dan dalam keadaan menangis menunjukkan jari telunjuknya terputus.

“Saya kemudian mencuci luka di jarinya termasuk di bahagian muka yang dipenuhi darah sebelum menghubungi ibunya yang ketika itu berada di sebuah kedai dobi di Jalan Batu Hampar untuk mencuci pakaian.

“Setelah selesai membalut luka di tangannya, saya terus memaklumkan kejadian kepada bapanya yang ketika itu sedang bertugas sebagai pemandu di sebuah sekolah di Sungai Petani,” ujarnya.

Kata Robeah, Muhammad Hafiz seterusnya dibawa untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Merbok sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.

Jelasnya, dia difahamkan cucunya itu kini sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dan berada dalam keadaan stabil.

Tambahnya, dia sedih dengan kejadian yang menimpa cucunya itu, tambahan lagi ketika umat Islam mahu menyambut hari lebaran tidak lama lagi.

“Selalunya setiap kali pulang dari Pasti dia akan datang bermain dan makan di rumah saya tetapi semalam dia tidak berbuat demikian. Kami sendiri tak tahu dari mana dia mendapat mercun bola itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI