MELAKA – Bazar Aidilfitri di Melaka sesak dengan kehadiran ratusan ribu pengunjung terutama pada minggu akhir menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, Glam Bazar Kelebang merekodkan kehadiran lebih 250,000 pengunjung yang datang membeli-belah sepanjang penganjuran program tersebut setakat ini.
Katanya, jumlah itu menunjukkan sambutan luar biasa bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan, malah turut menarik pengunjung luar negeri ini termasuk Johor.
“Jumlah kehadiran ke bazar ini menunjukkan rakyat mempunyai daya beli yang kuat di negeri Melaka.
“Kestabilan yang dibawa kerajaan negeri menarik pelaburan masuk dan menjana pendapatan melalui industri pelancongan, sekali gus menunjukkan rakyat berada dalam keadaan indeks kebahagiaan yang baik,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Glam Bazar Klebang di sini, malam tadi.
Menurutnya, tinjauan di beberapa bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri mendapati ramai peniaga dan penjaja berterima kasih berikutan terdapat peningkatan jualan berbanding tahun lalu.
“Di Melaka, terdapat tiga bazar besar yang menjadi tumpuan iaitu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Bazar Ikonik dan Bazar Kelebang. Sambutan yang diterima di semua lokasi melebihi jangkaan sepanjang Ramadan ini.
“Ada peniaga yang memaklumkan mereka sudah dapat menampung kos sewa tapak seawal empat hari berniaga di bulan Ramadan. Jadi saya berterima kasih kepada mereka kerana menyokong usaha mempromosi Melaka sebagai negeri pelancongan dan destinasi beli-belah sepanjang Ramadan,” katanya.-KOSMO! ONLINE














