WASHINGTON – Presiden Donald Trump berkata semalam bahawa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berdepan masa depan yang ‘sangat buruk’ jika gagal membantu membuka semula Selat Hormuz yang ditutup oleh Iran.
Dalam wawancara bersama akhbar The Financial Times(FT), Trump berkata, memandangkan Amerika Syarikat(AS) telah membantu Ukraine dalam perang menentang Russia, Eropah harus menolong AS di Selat Hormuz selepas penutupannya menyebabkan harga minyak melambung tinggi.
“Jika tiada maklum balas atau jika maklum balas adalah negatif, saya fikir ia akan menjadi sangat buruk untuk masa depan NATO,” kata Trump yang bertahun-tahun mengkritik pakatan itu sebagai mengambil kesempatan atas kemurahan hati AS.
Trump juga berkata, sidang kemuncak akan datang di Beijing dengan rakan sejawatnya dari China, Xi Jinping mungkin ditangguhkan kerana beliau mendesak bantuan China untuk membuka selat itu.
“Kami ingin tahu sebelum sidang kemuncak itu,” kata Trump sambil menambah, China serta negara-negara Eropah lebih banyak bergantung pada sumber minyak dari Teluk berbanding Amerika Syarikat.
“Adalah wajar bagi orang yang mendapat manfaat daripada Selat Hormuz membantu memastikan tiada perkara buruk berlaku di sana,” kata Trump.
Menurutnya, AS sedang dalam perbincangan dengan kira-kira tujuh negara untuk mendapatkan bantuan bagi membuka semula Selat Hormuz.
Ditanya tentang jenis bantuan yang diminta, Trump memberitahu FT bahawa beliau mahukan kapal pemusnah periuk api dan ‘orang yang akan menumpaskan penjahat yang berada di sepanjang pantai (Iran).’
Semalam, minyak mentah penanda aras AS West Texas Intermediate dibuka 2.5 peratus lebih tinggi pada harga AS$100.22 setong(RM394.17), manakala harga minyak Brent meningkat 2.9 peratus kepada $106.11(RM417.33) setong. – AFP














