fbpx
Antara individu dan motosikal yang ditahan dalam operasi di Persimpangan Lebuh Turi, Persiaran Raja Muda Musa, Klang.-Foto ISKANDAR SHAH MOHAMED/ KOSMO!

Lebuh Turi digempur, 150 motosikal kena pukat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Persimpangan Lebuh Turi di Persiaran Raja Muda Musa di sini, yang menjadi ‘port’ merempit sejak dua bulan lalu digempur habis-habisan awal pagi tadi.

Operasi bersepadu lebih tiga jam bermula pukul 2 pagi itu mengepung semua laluan dengan membawa kepada penahanan 150 motosikal dan 180 individu berusia 15 tahun hingga 30-an.

Tinjauan Kosmo! mendapati persimpangan lampu isyarat itu dipenuhi ratusan penunggang motosikal termasuk yang menggunakan ekzos bising sehingga mengganggu ketenteraman awam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, tindakan penguatkuasaan itu dilakukan hasil risikan dan maklumat awam mengenai aktiviti samseng jalanan di lokasi berkenaan.

Jelas beliau, lokasi itu menjadi pilihan selepas kawasan lain di persiaran sama digempur pihaknya secara berterusan sebelum ini.

“Simpang Lebuh Turi dipilih kerana keadaan jalan lurus dan ada banyak parkir untuk ‘penonton’ melihat lumba haram dan aksi bahaya seperti ‘wheelie’ serta ‘superman’.

“Namun, kita tidak akan sesekali berkompromi dan bertindak menahan semua individu termasuk mereka yang menonton bagi tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui pada operasi itu.

Menurut Jit Huey, pihaknya mengesan pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan operasi turut melibatkan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN