fbpx
TANGKAP layar klip video penunggang motosikal bergaduh menggunakan topi keledar yang dipercayai berlaku di Tangga Batu, Melaka.

Adik dituduh curi motosikal, abang bawa ‘geng’ pukul guna topi keledar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Kejadian tular sekumpulan penunggang motosikal bergaduh menggunakan topi keledar dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati seorang lelaki yang mendakwa adiknya ditahan polis selepas dituduh mencuri motosikal.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 4 pagi tadi di tepi jalan berhampiran Masjid Ar-Rabbani, Tangga Batu, dekat sini.

Katanya, dalam rusuhan itu seorang buruh binaan berusia 24 tahun turut cedera dan mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

“Seorang lelaki menuduh mangsa yang cedera menjadi punca adiknya ditangkap polis berhubung kes kecurian motosikal.

“Suspek bersama beberapa rakannya kemudian dipercayai mengepung mangsa sebelum menyerangnya menggunakan topi keledar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, suspek turut dipercayai memukul kepala mangsa menggunakan sebatang kayu sehingga menyebabkan kecederaan.

“Situasi menjadi tegang selepas mangsa turut dipukul menggunakan kayu yang mengakibatkan dia cedera. Dia kemudian menerima rawatan di Hospital Melaka dan telah dibenarkan pulang.

“Setakat ini masih belum ada sebarang tangkapan, namun kita telah mengenal pasti lima individu berusia lingkungan 20 hingga 30-an yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan itu,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan beberapa klip video tular di media sosial memaparkan lebih 20 penunggang motosikal terlibat dalam pergaduhan di tepi jalan dengan menggunakan topi keledar sebagai senjata.

Kejadian itu dipercayai berlaku di kawasan Tangga Batu dekat sini.

Dalam salah satu klip berdurasi 1 minit 21 saat, beberapa lelaki turut dilihat terbaring di atas jalan selepas dipukul beberapa kali menggunakan topi keledar oleh kumpulan terbabit.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN