PETALING JAYA – Sebahagian peniaga berlesen masih berani menjual mercun haram yang berbahaya seperti mercun bola, roket, papan dan bateri yang mendapat permintaan tinggi secara ‘sorok-sorok’ demi mengaut keuntungan lumayan.
Di atas meja jualan, mereka mempamerkan bunga api serta mercun berimpak rendah yang dibenarkan sahaja seperti Pop Pop dan jenis Happy Boom, namun di sebalik itu, mercun terlarang disimpan secara tersembunyi.
Mercun terlarang itu hanya dijual kepada pelanggan tetap atau sesiapa yang menunjukkan minat untuk membelinya dan mereka perlu menghantar mesej peribadi atau ‘PM tepi’ kepada peniaga.
Tinjauan Kosmo! di beberapa gerai di sekitar Ampang dan Cheras, Selangor serta Keramat, Kuala Lumpur mengesan terdapat kegiatan penjualan mercun terlarang.
Ketika tinjauan, wartawan Kosmo! yang menyamar sebagai pelanggan cuba bertanya kepada seorang peniaga sama ada lelaki itu mempunyai stok mercun yang lebih kuat.
Pada mulanya, peniaga itu menafikan ada menjual mercun tersebut, namun memberitahu mercun jenis itu hanya ditawarkan kepada pelanggan tertentu.
“Kalau nak mercun kuat, ada, tapi tak letak atas meja. Kalau dekat sini, paling ramai minta mercun bola Thai,” katanya.
Seorang lagi peniaga dikenali Afiq, 28, mengakui mercun bola mendapat permintaan tinggi setiap kali musim perayaan biarpun tidak dijual secara terbuka.
Mercun bola dijual pada harga RM40 hingga RM60 bagi 100 biji bergantung kepada saiz dan kualiti, manakala mercun bola Thai bersaiz besar pula antara RM50 hingga RM80 untuk 50 biji.
Katanya, permintaan terhadap ‘cake fireworks’ atau bunga api kotak yang mampu melepaskan puluhan das tembakan secara berterusan seperti pertunjukan bunga api mini turut meningkat saban tahun.
Antara yang menjadi pilihan ialah bunga api 36 hingga lebih 100 das tembakan dalam satu kotak yang menghasilkan letupan berwarna-warni di udara.
Afiq berkata, harga bunga api jenis itu boleh mencecah sehingga RM300 seunit.
“Tahun ini jualan mercun laris memandangkan sambutan Tahun Baharu Cina dan hari raya hampir sama,” ujarnya.
Di George Town, peniaga mercun di Nibong Tebal yang hanya mahu dikenali sebagai Bob mendakwa, hanya mercun yang dibenarkan seperti Pop Pop dan Happy Boom diletakkan di atas meja, manakala mercun terlarang dijual ‘senyap-senyap’.
“Walaupun ada permit jualan mercun, tapi tidak semua mercun boleh dijual. Jika pelanggan tanya baru kami keluarkan. Kami tak boleh jual secara terpampang atas meja, kena sorok-sorok daripada pihak berkuasa.
“Jual bunga api, mercun Pop Pop memang tak boleh cari makan, untung pun tak banyak,” katanya.
Seorang lagi peniaga mercun mendakwa, mercun bola hanya dijual kepada pelanggan tetap dan tidak semua pelanggan mahu membelinya disebabkan faktor keselamatan.
Katanya, mercun bola juga mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pekebun setiap kali perayaan dan ia digunakan untuk menghalau monyet atau tupai yang berkeliaran di kebun.
“Mercun bola dan buah nyiur hanya dijual masa musim perayaan dan pekebun akan membeli hanya pada waktu ini (musim perayaan) dalam kuantiti dua hingga tiga peket.
“Kami memang tak akan jual kepada kanak-kanak, hanya orang tertentu yang boleh beli. Mercun lain yang tak bahaya boleh dijual secara terbuka, tapi kena ada permit,” katanya.
Menurutnya, bekalan mercun diperoleh daripada pembekal tempatan yang diseludup masuk ke negara ini.
“Kali ini, kami juga jual secara dalam talian, status WhatsApp dan juga set kombo serendah RM50 untuk empat jenis mercun seperti mancis, telur naga, bunga api asap dan bunga api lidi kecil,” katanya.
Di Shah Alam, mercun bateri, bola serta papan terus menjadi buruan dan harga mencecah sehingga RM100.
Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Zul, 25, berkata, tiga jenis mercun itu tidak dibenarkan dipamerkan di atas meja jualan, namun permintaan tinggi menyebabkan ia tetap dijual.
“Harga mercun bateri bergantung kepada jenis shot (tembakan) iaitu antara RM15 hingga RM95 setiap satu.
“Mercun bola pula biasanya dijual di dalam peket 100 biji dengan harga RM50, manakala mercun papan lapan kaki RM8 seunit,” katanya.
Seorang lagi peniaga dikenali sebagai Razif, 30-an berkata, walaupun hanya menjual bunga api dan mercun yang dibenarkan, permintaan terhadap mercun bateri dan bola tetap tinggi.
“Setakat dua minggu Ramadan ini, jualan agak menggalakkan dan dijangka terus meningkat menjelang minggu terakhir sebelum Aidilfitri,” katanya.














