LONDON – Manchester City semakin sukar untuk memburu gelaran juara Liga Perdana Inggeris selepas sekali lagi tercicir mata apabila sekadar terikat 1-1 menentang West Ham United awal pagi semalam.
Sebelum ini, skuad kendalian Pep Guardiola itu turut diikat 2-2 oleh Nottingham Forest menyebabkan mereka ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu biarpun masih kekurangan satu perlawanan.
Bagaimanapun, Guardiola masih percaya perlumbaan untuk memburu gelaran liga musim ini masih belum berakhir dan City tidak bersedia mengibarkan bendera putih ketika perlawanan berbaki lapan aksi.
“Siapa kata ia berakhir? Tidak, ia belum berakhir kerana kami tidak kalah,” kata Guardiola.
Namun, beliau mengakui sentuhan penyudah yang tumpul pada perlawanan kali ini serta sepanjang musim ini menyebabkan mereka kerap tercicir mata dalam perlawanan-perlawanan seperti ini.
“Mereka melakukan segala-galanya, mereka menunjukkan semangat melawan. Kami mungkin melakukan 24 percubaan ke arah gawang mereka atau mungkin lebih.
“Kami perlu lebih baik ketika berada di kawasan mereka dan kami gagal melakukannya dalam perlawanan ini menyebabkan peluang menjaringkan gol menjadi sangat sukar dan akhirnya kami tercicir mata,” jelasnya.
Sepanjang 18 perlawanan EPL lalu, City hanya tewas sekali, namun mereka tercicir 10 mata menerusi keputusan seri dalam beberapa perlawanan yang sepatutnya mereka menangi termasuk ketika menentang Forest yang sedang bergelut. – AGENSI














