PETALING JAYA – Golongan pekerja di negara ini dinasihatkan untuk tidak panik sekiranya tarikh 1 Syawal jatuh lebih awal pada Jumaat ini sehingga bertindih cuti tahunan (AL) yang telah dipohon.
Pakar sumber manusia serta pempengaruh, Sim Ling Ku atau dikenali sebagai Aunty HR berkata, setiap pekerja dilindungi di bawah undang-undang buruh tempatan sekiranya situasi sedemikian berlaku secara luar jangka.
“Akta Kerja 1955 melalui Seksyen 60D (1B) telah menetapkan garis panduan yang jelas sekiranya hari kelepasan am jatuh pada waktu pekerja sedang bercuti,” katanya.
Aunty HR berkata, kebanyakan syarikat mungkin akan membatalkan permohonan AL tersebut kerana ia secara automatik telah digantikan dengan cuti umum.
“Bertenang dulu, jangan panik. Kalau anda dah mohon AL pada hari jumaat 20 Mac dan tiba-tiba hari itu diumumkan sebagai hari raya pertama, jangan risau.
“Terdapat dua kalendar di luar sana di mana ada yang berkata 1 Syawal pada 20 Mac dan satu lagi pada 21 Mac, jadi yang mana satu itu kena tengok anak bulan dahulu.
“Mengikut akta, cuti umum itu akan menggantikan AL anda secara automatik kerana anda tidak boleh ditolak cuti tahunan pada hari kelepasan am,” katanya.
Jelasnya, pekerja juga boleh berbincang dengan pihak pengurusan untuk memindahkan hari cuti tersebut ke hari bekerja seterusnya bagi memanjangkan tempoh tersebut.
“Penyelarasan tersebut biasanya memerlukan persetujuan antara kedua-dua belah pihak iaitu majikan dan pekerja.
“Anda boleh bawa cuti tersebut ke hari Isnin supaya dapat naik kerja semula pada hari Selasa, yang mungkin memang sudah menjadi rancangan asal anda.
“Apa yang penting adalah komunikasi antara kedua-dua belah pihak bagi mencapai kata sepakat mengenai penyelarasan jadual kerja tersebut,” jelasnya lagi.
Sebagai langkah awal, dia berkata, pekerja boleh tetap meneruskan permohonan cuti mereka sebelum ini.
“Teruskan sahaja memohon cuti mengikut kalendar rasmi dan ingatlah bahawa hak anda sebagai pekerja sentiasa dilindungi oleh undang-undang buruh,” ujarnya.
Dalam pada itu, orang ramai turut dinasihatkan untuk tidak membuat spekulasi mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri dan sebaiknya menunggu pengumuman rasmi daripada pihak yang terlibat. – KOSMO! ONLINE














