PETALING JAYA – Negeri Sembilan (NSFC) melakar kemenangan pertama sejak dalam tempoh hampir dua bulan selepas berpesta gol menewaskan skuad Polis DiRaja Malaysia (PDRM FC) 6-1 dalam aksi Liga Super di Stadium MP Selayang sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad NSFC yang dikenalikan oleh jurulatih interim, K. Rajan membariskan kesebelasan utama terbaik dengan penyerang negara, Luqman Hakim Shamsudin memacu jentera serangan bersama Jovan Motika dan Takumi Sasaki.
Luqman membalas kepercayaan yang diberikan dengan meledak dua gol seawal minit kelima dan ke-40
dan Sasaki turut mempamerkan penyudah berbisa apabila meraih jaringan berganda (m-37 dan m-69).
Dua lagi jaringan pasukan pelawat dilakukan oleh seorang lagi pemain import dari Jepun, Yuichi Hirano pada minit ke-53 dan tonggak pertahanan, Khuzaimi Piee melengkapkan kemenangan bergaya Hobin Jang Hobin dengan jaringan keenam pada minit ke-78.
Skuad The Cops meraih gol saguhati hasil penyudah tonggak import dari Korea Selatan, Park Tae-su pada minit ke-22.
Keputusan itu menyaksikan NSFC melonjak ke kedudukan tangga keenam liga dengan 22 mata selepas 19 perlawanan manakala PDRM FC kekal di tangga tercorot dengan 10 mata. – KOSMO! ONLINE














