JAKARTA – Satu klip video tular memaparkan pekarangan Pejabat Ketua Pentadbiran (Bupati) Buru Selatan, wilayah Maluku dipenuhi sampah yang dibuang oleh sejumlah pekerja kebersihan, lapor portal berita Lambe Turah semalam.
Tindakan itu dibuat sebagai tanda protes kepada pihak berkuasa selepas mereka tidak menerima gaji selama tiga bulan.
Rakaman video dimuat naik di platform Facebook menunjukkan timbunan sampah di hadapan pejabat itu sehingga menghalang sebahagian laluan masuk.
Seorang pegawai Agensi Ketenteraman Awam dikenali sebagai Latuamury berkata, sampah-sampah tersebut dibuang sekitar pukul 5.30 pagi (waktu tempatan).
“Tiga trak sampah memunggah seluruh muatannya di hadapan pintu masuk Pejabat Ketua Pentadbiran Buru Selatan.
“Protes itu tercetus akibat kekecewaan yang dialami pengutip sampah. Mereka masih bekerja seperti biasa, namun tidak menerima gaji sejak tiga bulan lalu,” kata Latuamury.
Situasi tersebut menyebabkan mereka berada dalam keadaan terdesak memandangkan umat Islam akan menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. – AGENSI














