TAHUN 2026 membuka tirainya dengan keunikan tersendiri apabila sambutan Tahun Baharu Cina berlangsung hampir serentak dengan kedatangan bulan Ramadan sebelum umat Islam meraikan Aidilfitri.
Mengambil semangat pertembungan dua perayaan besar itu, kumpulan 1119 (TRIPLE1NINE) tampil dengan karya terbaharu berjudul, Goyang Raya, sebuah lagu raya moden yang menyatukan elemen budaya pelbagai kaum.
Lagu tersebut merupakan kolaborasi antara 1119 bersama penyanyi Meer Nash, Aniez dan Zac Zac, sekali gus menampilkan gabungan bakat daripada latar belakang etnik berbeza.
Sejak dilancarkan, Goyang Raya telah berjaya mencuri perhatian ramai apabila meraih hampir 100,000 tontonan di YouTube dalam tempoh hanya dua hari.
Lebih menarik, proses penghasilan lagu ini melibatkan pasukan kreatif Melayu dan Cina yang bekerjasama menghasilkan karya yang menggabungkan unsur muzik tradisional Melayu dengan sentuhan moden.
Pendekatan tersebut bukan sahaja memberi nafas baharu kepada lagu raya, malah membuktikan bahawa muzik mampu menjadi medium penyatuan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Menerusi Goyang Raya, kumpulan tersebut sekali lagi mengetengahkan nilai kekeluargaan dan nostalgia pulang ke kampung yang menjadi simbol penting dalam sambutan perayaan rakyat Malaysia.
Menurut salah seorang anggota 1119, Eugene, lagu raya kali ini membawa nuansa yang lebih tradisional berbanding karya mereka sebelum ini.
“Berbanding lagu Raya Ria tahun lalu, lagu tahun ini terasa lebih tradisional dan benar-benar membawa semangat Aidilfitri yang kuat.
“Belajar tarian tradisional Melayu juga agak mencabar kerana memerlukan kelembutan dan keanggunan yang berbeza daripada persembahan K-pop atau Tahun Baharu Cina yang biasa kami lakukan,” katanya.
Sementara itu, Zac Zac mengakui pengalaman terlibat dalam penggambaran video muzik tersebut sangat menyeronokkan.
“Suasana di set sangat meriah dan penuh tenaga positif. Saya harap penonton dapat merasai kemeriahan dan kemesraan Raya seperti yang kami rasai sepanjang penggambaran,” ujarnya.
Bagi Meer Nash pula, kolaborasi tersebut sangat bermakna kerana mencerminkan identitinya sebagai anak kacukan Melayu dan Cina.
“Goyang Raya ialah lagu raya pertama saya selepas 11 tahun berada dalam industri.
“Bekerjasama dengan 1119 terasa sangat tepat kerana projek ini benar-benar menunjukkan sisi masyarakat berbilang kaum di Malaysia,” katanya.
Tambahnya lagi, gabungan melodi yang menarik serta koreografi bertenaga yang menjadi identiti kumpulan 1119 antara faktor utama yang membuatkan dia bersetuju menyertai projek tersebut.
Secara keseluruhannya, Goyang Raya bukan sekadar lagu raya bermusim, sebaliknya menjadi simbol perpaduan budaya yang diraikan melalui muzik, tarian dan semangat kekeluargaan rakyat Malaysia.
Sebelum ini, kumpulan 1119 pernah mencetuskan fenomena menerusi lagu, Good Fortune Comes Soon, sempena Tahun Baharu Cina yang meraih lebih 11 juta tontonan dan menjadi lagu tema di kebanyakan pusat beli-belah terkenal. – KOSMO! ONLINE














