KIRA-kira seminggu lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri iaitu hari kemenangan bagi umat Islam selepas sebulan berjuang menahan hawa nafsu.
Ramadan tahun ini terasa begitu singkat. Dalam tidak sedar, kita sudah menghampiri penghujung bulan mulia yang penuh rahmat dan keberkatan ini.
Cerita perang Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran kekal menjadi berita utama dan topik panas sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Walaupun kita dah nak sambut Syawal pada minggu hadapan, konflik AS-Iran nampaknya seperti belum ada tanda-tanda akan tamat dalam masa terdekat. Itu cerita dunia.
Di Malaysia, cerita juadah basi dan rosak, roti john indah khabar dari rupa dan sup jernih seperti air paip dijual di bazar Ramadan masih lagi berulang tahun ini.
Peniaga tamak ini masih lagi wujud dan ada di mana-mana. Mereka tidak peduli akan keselamatan pelanggan, hukum agama ditolak ke tepi. Yang penting duit masuk poket.
Namun satu yang penulis puji, ramai pengguna yang sudah celik tentang hak mereka. Kisah-kisah di atas dikongsikan di media sosial, jadi mudah bagi pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.
Tetapi bukan semua cerita tidak elok yang kita hadap sepanjang tiga minggu kita berpuasa. Cerita mengenai masjid menjadi antara topik yang hype di media sosial terutama Threads.
Antara masjid yang viral pada Ramadan tahun ini ialah Masjid TNB Bangsar.
Pada pandangan penulis, ini merupakan satu perkembangan yang positif apabila setiap masjid mengambil peranan berkongsi mengenai aktiviti, juadah berbuka, malah sampai wangian yang digunakan pun dikongsikan untuk manfaat orang ramai.
Mungkin ada satu dua masjid yang terpalit dengan cerita tidak enak, tetapi pihak pengurusan bertindak pantas menjawab permasalahan yang timbul.
Fungsi masjid kini tidak lagi seperti 10 atau 20 tahun lalu. Sekarang semua maklumat berada di hujung jari sampai menu berbuka pun dikongsi di media sosial jadi mereka yang merancang berbuka di masjid tidak perlu panik makanan tidak cukup.
Setiap hari beribu-ribu pek makanan disediakan kepada orang ramai. Menunya pula bukan satu jenis, malah pencuci mulut pun turut disediakan.
Datang ke masjid bukan sekadar untuk berbuka puasa, merasai vibe mewah dan menghidu aroma wangian karpet semata-mata, tetapi inisiatif mereka menarik kehadiran jemaah untuk mengimarahkan rumah Allah itu wajar dipuji.
Saya harap cerita positif mengenai masjid ini akan berterusan walaupun kita bukan lagi berada di dalam bulan Ramadan. Pasti ramai yang rindu dengan ‘min’ (admin) Masjid TNB Bangsar nanti.
Dalam ligat membuat persiapan Syawal, jangan lupa berbelanja secara berpada-pada. Uruskan perbelanjaan secara berhemat kerana kita tidak tahu keadaan boleh berubah dalam situasi antarabangsa yang tidak menentu.
Kepada perantau yang akan pulang ke kampung pada minggu hadapan, berhati-hati di jalan raya. -KOSMO! ONLINE














