PETALING JAYA – Suasana tenang di sebuah kawasan kediaman bertukar kecoh apabila seorang penghuni mendakwa jirannya dari tingkat atas melakukan gangguan bunyi bising waktu tengah malam.
Menerusi hantaran tular di X oleh Laylarahim, kelihatan seorang lelaki dari rumah tingkat bawah datang ke rumah jirannya di tingkat atas sekitar jam 1 pagi untuk meluahkan rasa tidak puas hati.
Menurutnya, jirannya mendakwa terdengar bunyi ada individu sedang melompat, berlari dan mengalihkan perabot di dalam rumah.
Walau bagaimanapun, pemilik rumah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut kerana sudah bersiap untuk tidur dengan hanya memakai baju tidur.
“Hampir 1 pagi jiran rumah bawah naik marah marah cakap aku bising,” katanya.
“Takkan nak jumping jack (lompat bintang) dengan pakai baju tidur. Bulan puasa ni bukan setan,” tambahnya.
Beberapa pengguna X lain mengatakan kemungkinan bunyi bising tersebut bukanlah berpunca daripada manusia, sebaliknya fenomena mekanikal yang dikenali sebagai ‘water hammer’ (tukul air).
“Cina rumah bawah pun complain (merungut) benda sama, tapi sudahnya paip dinding rumah dia pecah. Penuh air dekat tangga macam banjir keluar dari rumah dia,” kata @Snh7710.
Pemilik rumah dinasihati untuk membuat laporan rasmi kepada pihak pengurusan bangunan dan pengawal keselamatan bagi mengelakkan kejadian gangguan atau buli (harassment) berlaku lagi. – KOSMO! ONLINE














