KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan Ahli perniagaan, Albert Tei akan mengemukakan permohonan untuk memindahkan semua pertuduhan rasuah yang dihadapi dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Perkara itu dimaklumkan peguam Mahajoth Singh pada sebutan semula kes dihadapan Hakim Rosli Ahmad di Mahkamah Sesyen sini hari ini.
“Pihak kami akan memfailkan permohonan untuk memindahkan kes ini untuk dibicarakan ke Mahkamah Tinggi,” kata peguam itu.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar memaklumkan pihak pendakwaan telah menyerahkan sebahagian dokumen kes kepada pembelaan.
Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Hakim Rosli kemudian menetapkan 15 April ini bagi sebutan semula kes.
Sementara itu, Mahajoth Singh ketika ditemui selepas prosiding berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi secepat mungkin.
“Permohonan dibuat kerana pertuduhan anak guam kami menyentuh isu perlembagaan dibawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.
Pada masa sama, peguam itu turut menyatakan akan memfailkan representasi selepas memperoleh kesemua dokumen kes daripada pihak pendakwaan.
Sebelum ini Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, 38, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan memberi rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin.
Di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Albert Tei didakwa empat pertuduhan memberikan suapan wang tunai RM140,000 dan kelengkapan perabot termasuk barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 kepada Shamsul Iskandar.
Ia sebagai dorongan membantu syarikat tertuduh mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah walaupun sebenarnya perbuatan itu tidak ada hubungan dengan hal ehwal prinsipal.
Keempat-empat kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, di sini dan Presint 14, Putrajaya antara 24 November 2023 dan 5 Mac 2024.
Sementara di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Albert Tei didakwa atas satu pertuduhan
memberi suapan berjumlah RM64,924 kepada Shamsul Iskandar yang mana kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Country Heights, Kajang antara 28 November 2023 hingga 23 September 2024.
Bagi kesemua kesalahan, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17 (a) 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu hukuman penjara 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE














