KLANG – Tindakan seorang lelaki memecut kereta sejauh 10 kilometer (km) bagi meloloskan diri daripada pemeriksaan polis gagal selepas ditangkap di Jalan Banting, Pandamaran di sini, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira 8.30 malam dengan suspek yang ditahan berusia 31 tahun selain merampas dua peket dipercayai dadah jenis Methamphetamine dijumpai dalam keretanya.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, insiden bermula apabila kereta peronda polis terserempak dengan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkan pemandunya memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan.
Namun katanya, suspek bertindak melarikan diri dan dikejar sejauh kira-kira 10 km sehingga persimpangan lampu isyarat bersebelahan sebuah stesen minyak di jalan sama.
“Ketika cuba meloloskan diri, suspek bertindak merempuh bahagian kiri kereta peronda polis sebelum kenderaannya berjaya dihentikan. Kenderaan suspek turut melanggar dua buah kereta jenis Toyota Vios yang menyebabkan kerosakan pada bahagian bumper kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau dan empat rekod dadah termasuk dua rekod dikehendaki.
Tambah Jit Huey, suspek kini direman selama empat hari selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Nur Atikah Zakaria.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 / 279 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam serta memandu kenderaan secara melulu, Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah.
“Selain itu, siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dan penyalahgunaan dadah,” katanya.
Jelas beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














