KUALA LUMPUR – Penyanyi Farahdhiya tidak kisah sekiranya lagu raya pertamanya yang dilancarkan baru-baru ini tidak meraih sambutan hebat seperti karya milik artis lain.
Menurut Farahdhiya, dia sudah melakukan perkara tugas sebagai anak seni dan enggan terlalu memikirkan pandangan orang terhadap lagunya.
“Sejujurnya, saya tidak fikir nak bersaing bila keluar lagu raya sebab tugas kita dalam industri ini adalah seorang penyanyi dan menghasilkan karya-karya baru.
“Jangan sesekali jadi negatif seperti anggap sesetangah lagu tak boleh popular atau lagu orang lain lebih sedap, jangan sesekali jadi negatif.
“Jadi, kita kena terus jalan. Popular atau tidak itu cerita lain, yang penting kita terus berkarya dan sebenarnya itu saja caranya untuk kita terus relevan. Kalau awak tak ada keluarkan benda baru, apa relevannya you dalam industri?” katanya ketika ditemui pada rakaman Melodi Raya 2026 di sini, baru-baru ini.
Jelasnya, dia hanya memberi fokus kepada diri sendiri dan memberi yang terbaik untuk peminatnya.
“Saya tak pernah fikir fasal orang lain. Saya buat dan nak yang terbaik untuk produk sendiri.
“Kalau orang suka, Alhamdulillah, jika tidak suka, kita cuba lagi, ” ujarnya.
Berkongsi tentang lagu rayanya, dia berkata karya tersebut dilancarkan sebagai pengubat kerinduan para peminat yang sudah menanti selama 22 tahun.
“Mesti orang tak sangka saya akan muncul dengan lagu raya ditambah pula genre yang lebih ‘catchy’, berbeza dengan lagu-lagu saya sebelum ini iaitu berentak balada.
“Saya rasa satu perkara yang bagus, sesuatu yang segar untuk peminat saya yang mungkin tunggu lagu baru tetapi saya muncul dengan lagu raya.
“Selama 22 tahun menyanyi, saya tak pernah keluar lagu raya, jadi sekurang-kurangnya sudah ada lagu raya sendiri,” katanya lagi.
Farahdhiya melancarkan lagu raya pertamanya pada tahun ini berjudul Eh Ah! Raya selepas lebih dua dekad bergelar penyanyi. – KOSMO! ONLINE














