MADRID – Jurulatih Real Madrid, Alvaro Arbeloa melabel Federico Valverde sebagai Galacticos sejati selepas meledak hatrik membantu pasukan membenam Manchester City 3-0 pada aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi semalam.
Pada perlawanan di Santiago Bernabeu itu, Real yang dihimpit dengan masalah kecederaan beberapa pemain utama seperti Kylian Mbappe, Rodrygo dan Jude Bellingham langsung tidak terjejas selepas Valverde meledak hatrik dalam tempoh 22 minit babak pertama.
Menurut Arbeloa, pemain antarabangsa Uruguay itu adalah lambang sempurna sebagai seorang pemain Los Blancos dan menjadi penanda aras buat rakan-rakan sepasukan yang lain.
“Tidak kira di mana anda letakkan Valverde secara taktikal, dia tetap akan beri sepenuh jiwa. Bagi saya dia adalah pemain Real sejati pada abad ke-21 dan penanda aras bagi mana-mana pemain yang mahu menyarung jersi pasukan nanti.
“Mengenai kemenangan ini, saya rasa kami tidak boleh terlalu ghairah untuk raikan keputusan kerana kami hanya boleh gembira jika menang trofi. Masih ada baki 90 minit perlawanan dan kami perlu sedia di tempat lawan nanti,” katanya.
Sementara itu, pertahanan Real, Trent Alexander-Arnold menganggap pasukan berjaya menutup mulut pengkritik selepas menyatakan City adalah pilihan utama untuk lolos ke suku akhir.
“Ramai menjangka kami akan dibelasah malam ini, tetapi kemenangan ini membuktikan mentaliti kami. Pasukan melaksanakan taktikal yang dirancang jurulatih dengan sempurna dan inilah keindahan saingan UCL,” katanya. – AGENSI














