fbpx
Pegawai polis Indonesia lengkap bersenjata menghadiri majlis pengenalan diri sebagai sebahagian daripada operasi keselamatan Aidilfitri di Jakarta pada 3 April 2024. - AFP

Indonesia kerah penembak tepat kawal balik kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAKARTA – Tentera dan polis Indonesia akan mengerahkan pasukan petugas khas termasuk pasukan penembak tepat ke laluan-laluan perjalanan utama di Sumatera bagi mengawal  keselamatan semasa musim pulang ke kampung sempena perayaan Aidilfitri, lapor akhbar Arab News semalam.

Dikenali sebagai ‘mudik’, pergerakan besar-besaran itu merupakan  salah satu penghijrahan  bermusim terbesar di dunia, dengan orang ramai berdepan kesesakan lalu lintas yang amat besar, sejauh ribuan kilometer.

Hampir 144 juta orang atau lebih separuh daripada jumlah keseluruhan penduduk Indonesia dijangka mengambil bahagian dalam tradisi tersebut pada tahun ini. Daripada jumlah itu,  berjuta-juta orang akan menggunakan lebuh raya di wilayah Sumatera Selatan.

Justeru, pihak berkuasa melaksanakan langkah-langkah keselamatan yang dipertingkatkan untuk mengawasi keselamatan pengembara.

“Kami mengerahkan pasukan penembak tepat untuk menyokong operasi keselamatan semasa tempoh pulang ke kampung  sempena cuti Aidilfitri 2026.

“Polis Nasional Indonesia akan bekerjasama dengan kami untuk memastikan keselamatan orang awam. Pegawai-pegawai kami akan memperkukuhkan keselamatan di sepanjang laluan penghijrahan dan sedia menangani sebarang risiko  jenayah,”  kata Ketua Perintah Tentera di wilayah itu, Mejar Jeneral Ujang Darwis kepada pemberita.

Penembak tepat akan ditempatkan di sepanjang lebuh raya Kayu Agung-Palembang-Betung yang merupakan laluan utama penduduk untuk sampai ke bandar-bandar Sumatera dari Lampung. Ia merupakan wilayah transit yang menghubungkan Pulau Jawa dan Sumatera.

Di seluruh Indonesia pula, seramai 161,000 anggota keselamatan sedang dikerahkan di 2,746 lokasi sebagai sebahagian daripada langkah-langkah keselamatan nasional semasa tempoh pulang ke kampung tahunan, yang akan bermula secara rasmi esok (Jumaat).

Lebih 76 juta rakyat Indonesia dijangka melakukan perjalanan dengan kereta peribadi, manakala 24 juta akan menggunakan motosikal dan 23 juta yang lain melakukan perjalanan dengan bas.

Pihak berkuasa menjangkakan penghijrahan itu akan memuncak pada Rabu depan, apabila hampir 22 juta orang akan bergerak awal untuk sampai ke kampung halaman masing-masing menjelang hari pertama Aidilfitri.

Langkah-langkah keselamatan yang dipertingkatkan di sepanjang jalan utama itu akan dilaksanakan sehingga berakhirnya cuti panjang pada 25 Mac ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN