KUALA LUMPUR – Sebanyak 13,920 kes tunggakan nafkah bekas isteri berjaya diselesaikan dalam tempoh tahun 2020 hingga 2025 menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM)
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, bagi perkhidmatan khidmat dan pendahuluan nafkah, bantuan tersebut disediakan bagi memastikan kebajikan bekas isteri dan anak-anak terus terpelihara sementara menunggu pelaksanaan perintah mahkamah atau penyelesaian kes tunggakan nafkah.
“Pendahuluan nafkah yang disalurkan akan dikutip semula melalui tindakan penguatkuasaan terhadap bekas suami yang gagal melaksanakan tanggungjawab mereka. Sehingga Disember 2025, sebanyak RM1,732,094 telah disalurkan di bawah perkhidmatan tersebut,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Dr. Jufitri Joha berhubung jumlah bekas isteri yang telah mendapat manfaat dari BSK yang diwujudkan kerajaan bagi memastikan perintah nafkah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah dipatuhi dan dilaksanakan.
Marhamah berkata, bagi perkhidmatan bantuan nafkah sementara pula sehingga Disember 2025, jumlah bantuan yang telah disalurkan bagi kategori itu adalah sebanyak RM1,734,202.
Menurutnya, bantuan kewangan itu disalurkan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) kepada bekas isteri dan keluarga yang kurang berkemampuan khususnya dalam kalangan asnaf fakir dan miskin sementara menunggu pelaksanaan perintah mahkamah atau penyelesaian tunggakan nafkah.
Beliau turut menjelaskan bahawa perkhidmatan BSK Transit yang diperkenalkan sejak tahun 2022 bertujuan menampung kos perjalanan, makan minum serta penginapan bekas isteri yang perlu menghadiri prosiding mahkamah berkaitan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut menyalurkan bantuan kepada golongan ibu tunggal termasuk bekas isteri dalam kalangan asnaf yang layak.
“Sepanjang tahun 2025, seramai 7,683 ibu tunggal di Wilayah Persekutuan telah menerima bantuan di bawah 10 skim bantuan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM62.73 juta,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai aduan berkaitan pengabaian atau kegagalan membayar nafkah boleh menyalurkan maklumat kepada Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) melalui pelbagai saluran.
Ia termasuk Facebook, panggilan telefon, emel, kehadiran terus di kaunter Mahkamah Syariah berhampiran serta menerusi program outreach atau promosi BSK yang diadakan dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE














